Tiada Siapa Terlepas Tindakan Jika langgar SOP Pencegahan COVID-19 – Ismail Sabri

TANJUNG MALIM, 22 Ogos – Semua kes berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 akan disiasat, demikian jaminan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sekiranya didapati melanggar SOP atau melakukan kesalahan, tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Setiap orang tidak bebas dan mengatasi undang-undang. Menteri, timbalan menteri, kalau mereka melakukan kesalahan, langgar SOP pasti akan dikenakan tindakan.

“Hukuman terserah kepada Kementerian Kesihatan sama ada nak kompaun dan sebagainya terserah kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Slim River di Felda Besout 2 dekat sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara baru-baru ini.

Mengenai pematuhan SOP sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ismail Sabri berkata berdasarkan pemerhatian, ia sangat memuaskan.

“Di kawasan yang saya pergi semua ikut SOP, anak-anak kecil pakai pelitup muka, tempat duduk dalam sesuatu program juga ada penjarakan fizikal. Saya percaya rakyat semakin sedar perlunya patuh kepada SOP mungkin sebab (bimbang) dengan kluster Sivagangga dan bahaya yang ada di sekitar mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan elaun bulanan sebanyak RM350 kepada isteri veteran tentera yang perlu memberikan tumpuan dan menjaga sepenuh masa suami mereka sekiranya terlantar sakit.

Beliau berkata pemberian elaun itu bertujuan memastikan veteran tentera yang telah berbakti kepada negara dapat dijaga dengan sempurna selain meringankan beban isteri.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO meminta pengundi di DUN Slim memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada pengundian PRK itu yang akan diadakan 29 Ogos ini kerana sebagai anak tempatan, beliau pasti dapat terus membela dan membawa pembangunan di kawasan itu.

“…jika menang dia akan jadi wakil rakyat kerajaan, maka mudahlah untuk membawa pembaharuan dan dia orang sini kalau ada masalah senang nak jumpa,” katanya. – BERNAMA