Pasang Tulisan Cina Di papan Tanda: Dapsy Kuching Perlu Dikenakan Hukuman

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Shukor berkata, Pemuda Dap (Dapsy) Kuching, Sarawak perlu dikenakan hukuman kerana bersikap biadap dan menjadikan seolah-olah negara Malaysia ini sebagai sebuah negara yang tiada undang-undang.


Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Damansara, tindakan Dapsy Kuching ini juga jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Dari semalam saya perhalusi sikap ‘biadab’ dan kaedah berpolitik keterlaluan Dapsy Kuching yang mengambil tindakan sendiri tanpa memikirkan undang-undang yang termaktub.

“Kerana itu saya merasakan tindakan tegas perlu diambil agar ia menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak bertindak sesuka hati. Ini bukan soal politik tetapi ini soal undang-undang negara. Tidak ada mana-mana pihakpun yang boleh melanggar undang-undang sesuka hati,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, alasan dan sebab ‘politik’ yang diberikan oleh Pihak Dap kononnya tindakan mereka menampal tulisan Cina di tiga papan tanda adalah kerana lokasi papan tanda tersebut berhampiran majoritinya masyarakat cina adalah satu alasan murahan.

“Saya beranggapan sikap biadab serta bodoh sombong Dapsy Kuching ini secara tidak langsung bakal menggalakkan kepada sikap ‘penyumbangleweng’ harta benda awam. Jika ini dibiarkan tanpa tindakan sudah pasti penggiat-penggiat politik lain juga akan menganggap ini perkara remeh dan boleh bertindak sesuka hati pula selepas ini.

“Bagi saya, walau apapun wadah dan perjuangan politik serta teras asas yang dibawa, rasa hormat serta batasan perlu ada untuk diterapkan dalam setiap tindakan yang ingin dibuat.

“Politik buka hanya soal meraih sokongan semata-mata, tetapi perlu diambil kira juga soal mendidik tentang generasi masa depan yang ingin dibentuk. Namun yang paling penting juga adalah tindakan pihak berkuasa, samada mereka sekadar melihat atau hanya membatu menyaksikan salahlaku ini atau ‘berani’ mengambil tindakan tegas,” bidas beliau.

Berbicara lebih lanjut Amin mempersoalkan, adakah tindakan Dapsy Kuching ini secara tidak langsung memberikan satu gambaran tentang persoalan kemasukan warga China ke Malaysia yang hilang tanpa dapat dikesan selama ini.

“Amat mustahil masyarakat Cina Malaysia tidak faham bahasa Kebangsaan apatahlagi ia adalah bahasa yang patut difahami dan dikuasai oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

“Jadi, saya amat berharap agar pihak berkuasa tidak ‘double standard’ dalam hal ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.