PRK Slim: Pengalaman Luas Mohd Zaidi, Inilah Yang Rakyat Mahu – Nizar

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata pentingnya Pilihan Raya Kecil (PRK) N58, Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah untuk meneruskan legasi pemerintahan kerajaan khususnya di Negeri Perak.

Jelas beliau, pengalaman calon Barisan Nasional (BN) iaitu Mohd Zaidi Aziz cukup besar maknanya untuk meneruskan legasi kepimpinan sama ada di peringkat DUN mahupun kerajaan Negeri Perak.

“Harapan saya kepada pengundi masyarakat N58 untuk fokus kepada satu calon sahaja iaitu calon BN yang mempunyai latar belakang yang cukup baik, orang tempatan, cukup banyak pengalaman-pengalaman dan inilah sebenarnya pemimpin yang perlu untuk kita berikan keupayaan untuk meneruskan legasi kepimpinan khususnya di peringkat DUN Slim bersama-sama dengan peringkat kerajaan negeri.

“Saya cukup yakin sebenarnya masyarakat dan pengundi di sini, baik lapisan masyarakat pemuda, belia, dewasa dan ‘orang lama’ atau veteran yang berada di Felda ini telah pun merasai nikmat hasil daripada kerajaan BN, Allahyarham Tun Abdul Razak yang membina dan memfokuskan lapangan khususnya membantu masyarakat Felda berada di penempatan di sini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit turut mengulas selepas lima hari berkempen beliau melihat bahawa sambutan masyarakat Felda ini sangat baik dan sentiasa memberikan sokongan yang jitu khususnya kepada calon BN.

“Alhamdulillah… cukup baik dan kita sedia maklum khususnya di Felda ini dan mereka memberi sokongan padu pada calon nombor dua iaitu Mohd Zaidi Aziz yang akan dipilih nanti untuk meneruskan pembangunan khususnya di DUN Slim ini.

“Saya cukup yakin dan percaya … insya-Allah pada 29 Ogos ini seluruh pengundi di N58 Slim ini akan memberikan sokongan dan undi khususnya kepada Mohd Zaidi daripada BN,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.