Demi Agama, Bangsa, Negara… UMNO Perlu Berlapang Dada Terima PPBM Dalam MN

TEMERLOH, 19 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ahli UMNO di semua peringkat harus berlapang dada dan mempamerkan sikap terbuka sekiranya PPBM sah menyertai Muafakat Nasional (MN).

Ujar beliau, mahu tidak mahu, ahli dan kepimpinan UMNO harus menerima kembali rakan-rakan yang dulunya lari meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Saya amat faham memang sukar untuk kita menerima mereka yang meninggalkan kita sewaktu kalah tapi dalam hal ini UMNO mesti mempamerkan sikap terbuka untuk kembali bekerjasama dengan bekas ahlinya demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Begitu juga PAS. PAS yang selama ini memusuhi UMNO telah bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO dalam MN. Jadi, peranan PAS selepas ini mengimbangi antara PAS dan juga PPBM dan ini memerlukan sikap keterbukaan.

“Semua pihak khususnya parti-parti politik Melayu ketika ini perlu bersikap terbuka kerana orang Melayu tidak lagi boleh berpecah. Parti-parti politik Melayu ini perlu bekerjasama dalam satu pasukan yang mana ia juga merupakan harapan orang Melayu dan Islam untuk melihat penyatuan ummah di negara ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi parti politik Melayu bersama dalam MN memerlukan sikap keterbukaan yang cukup tinggi terutama membabitkan kepimpinan parti-parti politik Melayu di negara ini.

“Apakah antara agenda MN? Antaranya adalah penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk, maka sikap keterbukaan kita semua amat perlu bagi merealisasikan penyatuan ummah dan insya-Allah MN akan memperoleh majoriti lebih 2/3 pada PRU-15.

“… kerana itu jugalah, PRK DUN Slim ini harus dijadikan medan penyatatuan antara UMNO, PAS dan PPBM. Kita buktikan di Slim, UMNO mampu berlapang dada menerima mereka kembali kerana inilah yang sedang ditunggu-tunggu oleh semua orang Melayu,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

oleh: Azlina Rosdy