Cubaan Ke Arah Undi Tidak Percaya Terus Gagal, Kerajaan Terus Tumpu Pada Rakyat – Ahmad Maslan

TANJUNG MALIM, 18 Ogos – Cubaan pembangkang di Dewan Rakyat ke arah usul undi tidak percaya sekali lagi tidak membuahkan hasil apabila pengundian yang berlangsung meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jika sebelum ini dalam pemilihan Speaker baharu Dewan Rakyat, mereka mendapat undi 109 berbanding kerajaan yang berjaya mendapat 111 dan dalam konteks politik ianya tidak wujud istilah ‘naib johan’.

Menurut beliau walaupun perbezaan satu atau dua undi, kalah akan tetap kalah dan hari ini cubaan kedua mereka nampaknya tidak membuahkan hasil malah apa yang diperkatakan oleh pembangkang mengenai perubahan kementerian tidak betul.

“Dalam konsep politik ini ianya tidak ada naib johan dan ianya ada johan sahaja. Walaupun satu undi atau dua undi kalau kalah… kalahlah dan hari ini (semalam) cubaan mereka yang kedua untuk semacam memberi undi tidak berjaya kepada kerajaan hari ini dan sekali lagi mereka gagal. Mereka gagal kali ini 111 berbanding 106. Daripada 109 turun kepada 106.

‘’Selepas ini mungkin ada lagi percubaan-percubaan mereka dan kita yakin kita mampu untuk mengatasi cubaan-cubaan mereka itu dengan undi tidak percaya. Apa yang mereka buat ini sebenarnya menganggu pentadbiran yang ada dan segala yang mereka buat ini sebenarnya tidak baik untuk kestabilan politik dan saya harap apabila dua kali gagal ini mereka mungkin tidak lagi mencuba untuk memberikan undi tidak percaya kepada kerajaan,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan ucapan pada pada Majlis Taqarrub di Pusat Daerah Mengundi Pekan Lama, di sini, Isnin malam.

Kata Ahmad Maslan lagi yang diundi tadi ialah peruntukan perubahan-perubahan kementerian yang mana satu kementerian dimansuhkan manakala tiga kementerian baru diwujudkan dengan tidak ada penambahan bajet.

“Apa yang disebutkan oleh Langkawi semasa perbahasan petang semalam itu salah… tidak ada peruntukan tambahan bajet walaupun ada tiga kementerian baharu kerana bajetnya masih serupa. Kita ada penjimatan-penjimatan… mana ada menteri pergi ke luar negara, tidak ada negara dalam dunia buka sempadan… mana ada timbalan menteri ke luar negara.

“Jadi di situ ada penjimatan. Mana ada program-program besar kementerian, dan situ ada penjimatan dan saya disahkan oleh timbalan menteri kewangan tidak ada tambahan bajet apa yang kita bincang pada hari Khamis dan apa yang kita bincang petang semalam, tetapi mereka jenis pembangkang… bangkang apa sahaja,” ujarnya.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 secara undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu itu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir.

Seramai 106 Ahli Parlimen tidak menyokong manakala lima Ahli Parlimen tidak hadir seperti diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sebelum RUU itu diluluskan, keadaan dewan sedikit kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan tindakan Azhar menangguhkan dewan ketika sesi undian belah bahagi masih belum diselesaikan.

Terdahulu, Azhar menangguhkan sidang selama 10 minit.

Selepas 10 minit dewan ditangguhkan, Azhar masuk semula bagi mempengerusikan mesyuarat dan meminta undian belah bahagi dimulakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.