Cukuplah 22 Bulan Bersama PH, Menangkan Calon BN Di Slim – Hishammuddin

TANJUNG MALIM, 16 Ogos – Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, selepas melalui pentadibiran 22 bulan dalam keadaan tidak tentu dan perit di bawah Pakatan Harapan (PH), ternyata sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh.

Katanya, ketika diuji mendapat sokongan sewaktu ada kuasa adalah mudah tapi dalam keadaan tidak ada kuasa amat sukar.

“Semasa PH memerintah, kita jadi tidak tentu apatah lagi warga Felda. Lihat bagaimana harga sawit, hubungan dengan negara pengeksport terbesar India, dengan China malah Timur Tengah, bergaduh dengan Eropah.

“PH tak ada dasar yang jelas untuk sawit dan industri sawit namun sekarang hubungan kita dengan India dan beransur pulih, levi yang dibuat kerajaan India pun dah dihapuskan. Dengan China juga bertambah pulih malah kita sedang cari ruang bagaimana untuk eksport lebih kepada negara luar walaupun dalam suasana COVID-19 ini.

“Kerana itulah kita mesti menangkan calon BN, berilah sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO/BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin masyarakat dan warga Felda Trolak Selatan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Katanya, beliau sendiri tidak asing dengan warga Felda malah di Perlimennya di Sembong juga ada peneroka Felda.

“Saya mendekati warga Felda, sebab itu penting untuk dengar rintihan rakyat khususnya warga Felda. Sokongan warga Felda bukan pertimbangan kosong tapi atas nama UMNO/BN maka kita akan terus berjuang untuk peneroka Felda kerana isu-isu Felda seperti isu generasi kedua, isu harga sawit adalah sebahagian dari apa yang diperjuangan UMNO/BN.

“Kita tak pernah berikan janji manis seperti hapuskan hutang Felda atau hapuskan pinjaman pelajaran tapi kita akan teruskan berjuang untuk rakyat,” katanya.

Jelasnya, perjuangan masih jauh dan sekiranya calon BN, Mohd Zaidi Aziz diberikan ruang maka tentunya akan dapat menjadi suara rakyat setempat.

“Apabila diberikan tempat di DUN maka ia telah berikan jaminan kepada Ahli Parlimen kita di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.