Peningkatan Beransur-Ansur Bagi Pacu Ekonomi Pada 2021 – BNM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Petunjuk ekonomi utama telah menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur selepas didorong oleh pertumbuhan global dan sokongan domestik yang berterusan, yang akan memacu prospek ekonomi pada 2021.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pembukaan semula aktiviti ekonomi, peningkatan dalam pasaran buruh termasuk pembiayaan yang kukuh mencerminkan tanda-tanda pengembangan.

“Pembiayaan bersih mula meningkat stabil dengan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi oleh perniagaan sebagai modal kerja berikutan kos pinjaman yang lebih rendah,” katanya kepada media bagi mengumumkan prestasi suku kedua negara dan keluaran dalam negara kasar separuh pertama (KDNK) hari ini.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus berkembang pada 3.7 peratus secara tahunan, manakala pertumbuhan dalam tunggakan pinjaman perniagaan menokok daripada 3.4 peratus pada suku pertama 2020 kepada 3.9 peratus pada suku kedua 2020.

“Setiap bulan, pembayaran untuk pinjaman perniagaan pulih kepada paras normal menjelang Jun dari tahap terendah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan pada April dan Mei.”

Menurut Nor Shamsiah, sektor perbankan kekal berdaya tahan walaupun pandemik COVID-19 telah menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti, manakala, penampan modal kekal mencukupi walaupun menerima tekanan.

“Peralihan pembayaran balik pinjaman daripada moratorium kepada pendekatan yang disasarkan akan terus menyokong ekonomi kerana ia akan mengurangkan kesan terhadap mereka yang dibuang kerja dan kini, bank secara aktif sedang berhubung dengan peminjam yang terkesan bagi menawarkan bantuan,” katanya.

Jika wujud kemungkinan kebangkitan semula COVID-19, terdapat ruang untuk langkah dasar yang disasarkan sebagai pelengkap kepada tindakan sebelum ini.

Nor Shamsiah ketika mengulas mengenai pasaran modal berkata ketidakstabilan ekuiti dan ringgit akan berterusan memandangkan pasaran kekal sensitif disebabkan kebimbangan yang belum reda.

“Setakat ini, ringgit telah menyaksikan kenaikan dan pasaran ekuiti menjadi bertambah baik akibat daripada permintaan oleh pelabur domestik.”

Mengenai unjuran ekonomi, beliau berkata ia akan disokong oleh keadaan global dan pelaburan baharu terutama dalam teknologi serta produk penjagaan kesihatan termasuk pengembangan yang berkaitan dengan komoditi.

Ini akan mendorong ekonomi tempatan ke hadapan kerana ia dijangka akan mencapai tahap pemulihan sebanyak 5.5 peratus kepada pertumbuhan 8.0 peratus pada tahun hadapan.

“Ini juga akan didorong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh selepas pasaran kerja menyaksikan peningkatan secara beransur-ansur melalui sokongan inisiatif di bawah PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) dan PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat), yang telah membantu pasaran tempatan semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, KDNK Malaysia pada suku kedua menyaksikan penguncupan yang mendadak sebanyak 17.1 peratus yang merupakan penguncupan dua digit pertama yang dicatatkan sejak suku keempat 1998.

Walaupun mengalami kelembapan, BNM yakin bahawa ekonomi akan meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, sebelum menyaksikan pemulihan pada tahun hadapan dengan pertumbuhan dijangka di antara 5.5 peratus hingga 8.0 peratus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.