Gagal Tepati Janji, Makmurkan Ekonomi Sabah… Rakyat Akan Hukum Warisan – Abdul Aziz

KOTA KINABALU, 14 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain yakin rakyat akan menghukum Parti Warisan Sabah (Sabah) dan sekutunya Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ini berikutan katanya, tindakan kerajaan negeri yang hanya pandai berjanji bulan dan bintang ketika berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tetapi tidak dilaksanakan setelah menjadi kerajaan dan mengabaikan kepentingan rakyat yang ketika ini terkesan akibat COVID-19.

“Dan sudah tentunya melalui PRN Sabah ini rakyat dapat memilih kerana mandat pada tahun 2018 tidak diberikan kepada kerajaan Warisan dan rakyat juga melihat bahawa janji-janji yang diberikan kerajaan Warisan dan PH terdahulu tidak dilaksanakan dan kali ini mereka akan menghukum kerajaan Warisan dan PH.

“Mereka juga akan menghukum kerana pada ketika kita dilanda dengan paranoia seperti wabak membunuh COVID-19, kerajaan Warisan Datuk Shafie Apdal bersama kabinet menterinya dan rakan sekutunya bertepuk ria, bersorak seolah-olah mereka kegembiraan membubarkan Dewan Undangan Negeri tatkala kerajaan, rakyat sedang menghadapi wabak membunuh COVID-19 ketika mana perut rakyat juga sedang menghadapi keruduman ekonomi,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya juga, akibat COVID-19, ramai rakyat berada dalam keadaan tertekan kerana ada yang kehilangan pekerjaan terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan yang menjadi antara sumber utama pendapatan negeri.

“Kita tahu contohnya Sabah bergantung kepada pelancongan. 40 peratus daripada pendapatan negeri bergantung kepada pelancongan dan industri perkhidmatan yang berkaitan dengannya.

“Sebagai contoh, apabila kita dilanda dengan COVID-19 ini, 95 ribu tempahan bilik-bilik hotel telah dibatalkan di seluruh negara dan Sabah sahaja 30 ribu tempahan bilik hotel juga telah dibatalkan, satu pertiga daripada industri pelancongan di negara ini terkesan kepada Sabah.

“Dan ini akan memberikan impak pekerjaan kepada rakyat, perut mereka, mereka akan kehilangan pekerjaan,” ujarnya.

Selain itu katanya, rakyat Sabah sekarang mahukan perubahan kerana kerajaan Warisan/PH gagal memakmurkan negeri.

“Dan ini kita dapat lihat juga semasa pemerintahan kerajaan Warisan dan PH kena ukur dari segi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Pada tahun 2017 zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) mencatat KDNK yang tertinggi dan terbesar dari seluruh negara iaitu sebanyak 8.2 peratus manakala di zaman kerajaan Warisan dan PH mencatatkan 1.5 peratus di tahun 2018, yang terendah di seluruh negara.

“Dan kali ini baru-baru sahaja, Jabatan Perangkaan telah mencatat kadar pembangunan di negeri Sabah ini menjunam jauh teruk 0.5 peratus. Dan tentunya KDNK berkaitan langsung dengan pekerjaan. Sebab itu kadar pengangguran dicatatkan tertinggi di seluruh negara dan tentunya rakyat mahukan perubahan.

“Tentunya rakyat akan menghukum kerajaan Warisan/PH ini yang menjanjikan bulan dan bintang ketika mereka berkempen dahulu. Tentunya signifikasi pilihan raya negeri ini hanya sebagai untuk menghukum kerajaan Warisan dan PH,” jelasnya lagi.

Ulas Abdul Aziz juga, PRN akan merungkai isu legitimasi kerajaan yang memerintah negeri itu.

“Kita mahu melihat legitimasi kerajaan pada hari ini. Kita tahu bahawa 2018 kerajaan BN bersama dengan STAR sebenarnya sudah membentuk kerajaan tetapi disebabkan isu-isu ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang melompat akhirnya legitimasi kerajaan negeri Sabah telah diambil oleh kerajaan Warisan dan rakyat mahu penyelesaian kepada legitimasi ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.