Apakah Status 10 Ekar Tanah Perkuburan Islam? Soal UMNO Kalabakan

KALABAKAN, 14 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar segera menyediakan kawasan baharu untuk proses pemindahan kubur yang terbina di atas tanah milik orang lain.

Katanya, gesaan itu dibuat susulan dari video viral yang memaparkan mengenai kerja-kerja pembongkaran Tanah Perkuburan Islam di Kawasan Batu 3, Jalan Apas, Tawau, kerana sudah memasuki kawasan kilang berhampiran.

“Selain dari Tanah Perkuburan Islam Batu 3 Jalan Apas, kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Wilis, Jalan Utara berhadapan dengan Sekolah Islamiah juga sudah penuh dan sesak.

“Oleh itu, adalah wajar satu kawasan yang baharu diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Islam agar tidak timbul isu menceroboh tanah orang lain,” tegasnya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Andi juga memaklumkan bahawa pada Februari 2018, Datuk Seri Musa Aman sewaktu menjawat Ketua Menteri Sabah telah meluluskan 10 ekar tanah untuk dirizabkan sebagai Tanah Perkuburan Orang Islam Tawau yang baharu.

“Tanah perkuburan orang Islam ini dimohon oleh masyarakat Tawau dan telah diwakili oleh Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

“Ini adalah amanat terakhir beliau sebelum meninggal dunia. Allahyarham Datuk Tawfiq adalah tokoh UMNO Sabah yang berjasa dan dikenang sebagai pemimpin yang cukup dekat dan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat,” ujarnya lagi.

Seterusnya, Andi yang juga merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia turut terpanggil untuk menyeru kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Ugama Islam Negeri Sabah dan pihak Jabatan Mufti Sabah serta Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah bersama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengkaji semula kaedah pengurusan jenazah semasa krisis wabak COVID-19 ini bagi kategori jenazah yang meninggal dunia biasa dan meninggal dunia tetapi mempunyai gejala batuk, demam dan lain-lain tetapi tidak dikategorikan sebagai kes dalam siasatan (Person Under Investigation-PUI) COVID-19.

“Perkara ini adalah kesan daripada tempoh menunggu sehingga dua atau tiga hari untuk mendapat keputusan ujian COVID-19 bagi jenazah.

“Kelewatan dalam mengurus jenazah adalah perkara yang dicegah dan menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya bagi masyarakat muslim,” katanya.

Justeru Andi mencadangkan agar satu prosedur operasi standard (SOP) baharu perlu diperkenalkan untuk mengurus jenazah biasa dan jenazah bukan PUI supaya jenazah ini dapat diurus dalam tempoh yang singkat tanpa perlu menunggu berhari-hari.

Ini katanya berikutan terdapat sebuah kes kemalangan maut yang melibatkan dua orang guru di Jalan Merotai Kampung Kijang di sini yang lewat dikebumikan ekoran menunggu keputusan COVID-19, hasil makluman ahli keluarga ketika dikunjungi olehnya dan juga Ketua Wanita UMNO bahagian, Chaya Sulaiman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.