104 Individu Terkandas Di KLIA Sudah Ditempatkan Di Stesen Kuarantin – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sekumpulan 104 individu yang pulang dari luar negara dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam ekoran pesawat berkenaan tiada dalam senarai jadual asal, telah ditempatkan di stesen kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

“Semalam, terdapat sekumpulan individu yang terkandas di KLIA kerana tidak dihantar ke stesen kuarantin dalam durasi masa yang ditetapkan dan setelah diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat yang tiada dalam jadual asal telah mendarat dan membawa 104 penumpang.

Pihak urus setia mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada serta memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Beliau berkata kumpulan terakhir ditempatkan di stesen kuarantin pada pukul 10 malam.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambah baik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan stesen kuarantin.

Dalam pada itu, mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata seramai 203 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam, dan daripada jumlah itu, 44 direman dan 159 dikenakan kompaun.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (lima individu), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (44), premis tanpa lesen dan disyaki menjalankan aktiviti perjudian (37), tidak memakai pelitup muka (26) dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (66) serta premis beroperasi lebih masa (25).

“Semalam PDRM juga mengadakan 55 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 26,905 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hasil pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas1,289 premis perniagaan, mendapati enam premis perniagaan tidak mematuhi SOP dan telah diberi amaran serta nasihat.

“KPDNHEP juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 701 premis perniagaan termasuk peruncit (492), pemborong (178) dan pengilang (31)… secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di 74 tapak binaan di seluruh negara yang melibatkan 62 anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pula mendapati satu tapak binaan tidak patuh pada SOP dan diberi amaran. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.