Bersama Perkukuh Muafakat Nasional Demi PRU-15

DAMANSARA, 9 Ogos – Naib Ketua UMNO Selangor Amin Mohd Shukor berkata, walaupun UMNO terkenal dengan politik khidmat bakti namun untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), ianya perlu diberikan penambahan bagi menambah baik keyakinan kepada para pengundi apatah lagi kini sudah ada Muafakat Nasional (MN).

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Damansara, ini kerana geografi, demografi dan psikografi politik bandar jelas sekali berbeza jika ingin dibandingkan dengan kawasan luar bandar maka sudas pasti dalam soal meletak calon juga perlu ada keberanian.

“Sudah pasti pada PRU-15 nanti MN mahukan kemenangan dan itu juga antara tujuan utama kita berkerjasama, maka bagi merealisasikan hasrat ini komponen-komponen MN perlu lebih berani dalam menonjolkan calon-calon yang ingin dipertandingkan.

“Kredibiliti dan ‘capability’ calon perlu menjadi antara ‘kosmetik’ jelas untuk ditonjolkan sebagai produk. Bukan sahaja dari segi latarbelakang pendidikan calon, malahan ‘keboleh mampuan’ ‘profesional’ peribadi calon juga mampu memberikan nilai tambah menarik minat para pengundi.

“Jangan dilupa juga pemahaman bakal calon terhadap ‘unity’ iaitu saling kebergantungan masyarakat pelbagai bangsa dalam kehidupan seharian masyarakat bandar, juga mampu memberi nilai tambah kepada kemenangan kemenangan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, MN perlu memahami dengan jelas ‘kronologi’ kehidupan serta cara hidup yang didepani masyarakat bandar.

“Permasalahan yang membelenggu kehidupan masyarakat bandar malahan cara hidup yang bersifat pengukuhan ekonomi, penambaikan pendidikan, jaminan keselamatan persekitaran perlu diambil kira. Sebagai contohnya, keperluan masyarakat B40 bandar dan luar bandar amat berbeza sekali, keperluan kehidupan anak muda bandar dan luar bandar juga ada perbezaan.

“Jadi, pandangan saya semua bakal calon MN perlu fahami seluruh keperluan segmen ini jika berhasrat membawa nama parti pada PRU-15.

“Soal calon muka baru dan calon orang muda pula bagi saya terlalu subjektif pemahamannya, kerana para calon perlu bersedia fizikal mental, rohani jasmani malahan perlu persiapan rapi ‘kendiri’ sebelum diketengahkan sebagai calon. Paling penting perlu bersih dan dilihat bersih supaya tidak membebankan jentera parti dalam usaha mempromosinya pada PRU nanti,” tegas beliau.

Selain itu jelas Amin, calon yang ingin ditonjolkan juga perlu mampu menguasai ‘kemahiran’ perhubungan awam dan kemahiran menangani konflik masyarakat bandar dengan baik malahan jika calon mampu menguasai pelbagai bahasa pertuturan juga, ia mampu dilihat sebagai pakej yang amat baik dan mampu memberi impak positif pada parti.

“Saya amat berharap parti-parti komponen MN tidak terlalu ‘play-safe’ atau mengamalkan formula politik menjaga hati individu-individu yang melobi untuk menjadi calon. Ada ketikanya satu langkah berani dan kehadapan perlu diambil demi ‘survival’ kemenangan. Walaupun ada ketikanya langkah diambil itu agak ‘kurang popular’ dan menimbulkan sedikit ketidakpuashatian, namun jika itu yang dilihat baik untuk pengundi, rakyat serta masyarakat apa salahnya bagi saya.

“Perlu diingat juga, pertambahan jumlah pengundi pelbagai saluran menjelang PRU-15 akan datang juga akan menentukan sejauh mana jenama MN ini mampu untuk terus sesuai diguna pakai pada masa depan.

“Kesimpulannya, apa juga bentuk strategi atau taktik di atas, ia perlu seiring dengan bentuk perlaksanaannya. Pemboleh ubah semasa serta ‘psikografi’ para pengundi parti perlu diambil kira, parti jangan terlalu ‘syok sendiri’ dan berasa selesa serta berasa kuat sesama lingkungan ‘kita-kita’ sahaja. Bagi saya, kita memiliki peluang yang amat baik untuk PRU-15 yang bakal menjelang tiba ekoran prestasi PH yang mengecewakan. Namun, terjemahannya perlulah secara ‘realistik’ kepada rakyat, pengundi dan masyarakat dan janganlah terlalu retorik.” Katanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy