Membudayakan Normal Baharu

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Apabila tiada tanda-tanda bila akan berakhirnya pandemik COVID-19, nasihat terbaik kepada rakyat Malaysia bagi melindung diri masing-masing adalah meneruskan amalan pemakaian pelitup separuh muka apabila keluar rumah, kerap membasuh tangan dan mengamalkan jarak fizikal.

Amalan normal baharu rakyat Malaysia ini telah pun diterapkan sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan 18 Mac lepas.

Dan kini selepas hampir lima bulan PKP termasuklah PKP Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos nanti, rakyat kebanyakannya sudah semakin menerima adaptasi normal baharu ini dalam kehidupan seharian mereka.

Namun apabila berlakunya peningkatan semula jumlah kes baharu pada akhir Julai menyebabkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka kepada setiap orang berkuatkuasa 1 Ogos terutama ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat tumpuan umum yang sesak bagi tujuan membendung pandemik COVID-19.

Peraturan baharu itu memperuntukkan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), jika ada yang gagal mematuhinya.

LIHAT SUDUT POSITIF

Perubahan kepada normal baharu secara ‘tiba-tiba’ disebabkan penularan pandemik ini, memanglah sesuatu yang bukan mudah untuk diterima dan diadaptasi dengan sekelip mata oleh rakyat.

Ini kerana ia menuntut kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat untuk sama-sama memastikan #kitamenang dalam ‘melawan’ COVID-19.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, normal baharu perlu dilihat dari sudut positif bagi mengelakkan masyarakat daripada rasa tertekan dan terbeban dengan pengamalannya.

“Masyarakat perlu melihat perkara ini dari aspek kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan. Sebelum ini (sebelum krisis COVID-19) seseorang mungkin dianggap sebagai penghidap penyakit obsesi berlebihan seperti Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) apabila kerap membasuh tangan dan menggunakan pelitup separuh muka.

“Namun hari ini perkara itu telah berubah menjadi suatu kemestian malah penggunaan pelitup separuh muka turut diwajibkan di kawasan tertentu.

“Rakyat perlu melihat bagaimana normal baharu ini membawa perubahan yang baik kepada perkara yang sebelum ini kurang dititikberatkan, sebagai contohnya, tidak menjaga etika batuk dan bersin, tidak mengambil berat simptom demam, selsema malah kita kini menjadi semakin peka dengan soal kesihatan dan kebersihan diri sendiri dan orang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini berhubung isu normal baharu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, Muar.

‘ALAH BISA, TEGAL BIASA’

Ibarat peribahasa ‘alah bisa, tegal biasa’, Dr Muhammad Muhsin berkata apabila sesuatu perkara itu menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat, ia akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Meskipun normal baharu ini belum begitu menjadi budaya, namun rata-rata rakyat mengamalkannya kerana bimbang akan penularan COVID-19, patuh kepada undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, selain kesedaran turut meningkat apabila kes COVID-19 kembali naik.

“Cuma, dalam tempoh hampir lima bulan kita mengadaptasi norma baharu ini (sejak PKP), rakyat boleh dikatakan semakin terbiasa. Impaknya turut diterjemah melalui tahap kepatuhan terhadap PKP dan SOP yang ditetapkan yang sekaligus menyumbang kepada kadar penurunan kes penularan COVID-19 di negara ini.

“Apa yang kita harapkan amalan norma baharu ini akan terus dipertingkatkan dan dijadikan normalisasi serta budaya dalam kehidupan. Apabila semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing, norma baharu ini akan diadaptasi sebagai sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Beliau pada masa sama tidak menolak tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk rakyat membudayakan normal baharu.

“Untuk membudayakan norma baharu ia bukan bersifat ‘top-down’ berlandaskan polisi dan SOP yang ditetapkan pihak kerajaan semata-mata sebaliknya rakyat sendiri perlu ada kesedaran dan tahap keprihatinan yang tinggi.

“Norma baharu ini juga akan lebih mudah diikuti oleh masyarakat sekiranya mereka yang mempunyai ‘pengaruh’ seperti pemimpin, golongan selebriti, petugas kesihatan dan guru menunjukkan contoh pengamalannya dalam kehidupan seharian,” katanya sambil menambah tahap kesedaran rakyat ada ‘turun-naik’ dan perlu sentiasa dibekalkan dengan maklumat dan peringatan secara berterusan.

LEBIH BERDISIPLIN, TERTIB

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya yang juga merupakan kaunselor, Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata normal baharu secara tidak langsung turut mendidik masyarakat menjadi lebih berdisiplin dan tertib dalam tindakan mereka.

Situasi bersesak-sesak dan berasak-asak semakin berkurangan dan rakyat ‘akur’ untuk beratur dan menjaga jarak fizikal. Contohnya, ketika membeli barang di pusat membeli-belah, menggunakan lif serta tangga bergerak.

“Masyarakat belajar dan berubah kepada sesuatu perkara melalui antaranya melihat contoh apa yang dilakukan oleh orang lain, melalui pujian dan penghargaan serta melalui hukuman atau denda yang dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan.

“Ada individu yang boleh diingatkan melalui kempen kesedaran yang dijalankan, ada yang memerlukan ‘pulangan’ sebagai balasan kepatuhan mereka dan terdapat juga yang perlu dikenakan hukuman atau denda bagi tujuan memberi kesedaran,” katanya.

Beliau turut berpendapat kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat perlu dipelbagai agar objektif kerajaan untuk membudayakan normal baharu dapat dicapai.

Sebagai contoh, sebelum ini ramai yang bekerja dari rumah tidak sabar menunggu siaran sidang media berhubung COVID-19 namun berikutan kebanyakan rakyat telah kembali bekerja dan menjalankan rutin harian seperti biasa, momentum (keterujaan rasa ingin tahu perkembangan terkini kes COVID-19) semakin menurun disebabkan kekangan masa.

“Untuk itu kaedah penyampaian maklumat berhubung situasi semasa COVID-19 perlu dipelbagaikan di samping cara penyampaian perlu sesuai mengikut peringkat umur agar semua kumpulan masyarakat boleh faham, mempunyai kesedaran dan mengamalkan normal baharu sebagai budaya dalam kehidupan mereka.

“Maklumat juga perlu dipastikan boleh diakses oleh semua golongan termasuk mereka yang berhadapan kekangan tertentu seperti orang kurang upaya (OKU) agar agenda membudayakan norma baharu ini dapat direalisasikan,” katanya yang juga OKU penglihatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.