Kerajaan Diminta Perhalusi Perlaksanaan Moratorium Tersasar – Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – UMNO meminta kerajaan supaya memperhalusi perlaksanaan moratorium tersasar yang diumumkan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana golongan yang terkesan teruk semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah golongan B40, M40 peringkat bawah serta peniaga-peniaga kecil.

Justeru, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini menyarankan kepada kerajaan untuk memperhalusi kaedah perlaksanaan moratorium melalui beberapa cadangan.

“Memberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada pinjaman kenderaan yang mempunyai bayaran bulanan (instalmen) di bawah RM1,000 per bulan.

“Memberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada pinjaman rumah kediaman atau premis perniagaan yang mempunyai bayaran bulanan (instalmen) di bawah RM2,500 per bulan.

“Pinjaman-pinjaman peribadi dari bank-bank atau koperasi yang mempunyai bayaran bulanan di bawah RM2,000 sebulan juga perlu diambilkira. Kita faham bahawa ramai rakyat mempunyai pinjaman peribadi yang dibuat untuk memenuhi keperluan mendesak seperti yuran universiti anak, pembelian barangan keperluan dan perkara-perkara lain yang penting sebelum ini,” jelasnya lagi.

Begitu juga tambah Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), moratorium automatik tersasar ini dicadangkan supaya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 supaya golongan B40 dan M40 dapat bangkit semula sepenuhnya dari kesulitan ekonomi sepanjang tahun ini.

Di samping mengambil langkah prihatin serta peduli kepada golongan B40 dan M40, kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme yang sesuai bagi membantu golongan T20 yang turut terjejas akibat COVID-19, saran Ahmad Zahid.

“Moratorium untuk syarikat-syarikat dan juga individu-individu yang sebelum ini berpendapatan tinggi tetapi terjejas ataupun hilang pekerjaan harus diteruskan seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya yakin golongan T20 boleh berurusan dengan pihak bank secara lebih efektif untuk lanjutan moratorium.

“Jangan lupakan langsung kumpulan T20 kerana mereka penyumbang terbesar cukai korporat dan sumbangan lain seperti mewujudkan peluang pekerjaan serta pemangkin ekonomi negara. Mereka juga perlu bantuan kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi terutama dalam suasana mencabar ketika ini,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ahmad Zahid:

Alhamdulillah kita dapat melihat bahawa keadaan ekonomi rakyat dan negara sudah beransur pulih sejak PKPP diumumkan. Ramai rakyat sudah mulai menjalani norma baharu (atau new normal) dan mulai bangkit semula dari sudut perkerjaan, pendidikan, perniagaan dan aktiviti harian.

Peranan kerajaan di mana Ahli-Ahli Parlimen UMNO adalah sebahagian Kerajaan Perikatan Nasional dalam membela nasib rakyat tetap akan diteruskan. Kerajaan telah melaksanakan banyak polisi yang membela serta membantu nasib rakyat menghadapi kesulitan kewangan semasa tempoh PKP dan PKPB sebelum ini.

Bagi terus membantu ramai rakyat terutamanya golongan B40 dan M40;

(1) UMNO ingin meminta kerajaan supaya memperhalusi perlaksanaan moratorium tersasar yang diumumkan baru-baru ini. Kita ambil maklum bahawa golongan yang terkesan teruk semasa tempoh PKP dan PKPB adalah golongan B40, M40 peringkat bawah serta peniaga-peniaga kecil.

(2) Dengan moratorium automatik selama 6 bulan yang diberikan sebelum ini, ramai rakyat dan peniaga-peniaga kecil dapat membelanjakan wang lebihan mereka ke dalam kitaran ekonomi negara. Perbelanjaan ini telah merancakkan semula ekonomi negara apabila rakyat berbelanja.

(3) Peniaga-peniaga kecil mendapat manfaat secara langsung apabila rakyat berbelanja di kedai-kedai makan, membeli barang-barang keperluan, membeli keperluan tambahan serta barang-barang lain yang sebelum ini mereka tidak mampu membeli kerana komitmen bayaran pinjaman setiap bulan.

(4) Pekerja-pekerja yang terkesan akibat potongan gaji oleh majikan juga terbantu apabila telah mendapat moratorium pinjaman selama 6 bulan secara automatik sebelum ini.

Pihak kerajaan disarankan untuk memperhalusi kaedah perlaksanaan moratorium melalui cadangan berikut;

(a) Memberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada pinjaman kenderaan yang mempunyai bayaran bulanan (instalmen) di bawah RM1000 per bulan.

(b) Memberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada pinjaman rumah kediaman atau premis perniagaan yang mempunyai bayaran bulanan (instalmen) di bawah RM 2500 per bulan.

(c) Pinjaman-pinjaman peribadi dari bank-bank atau koperasi yang mempunyai bayaran bulanan di bawah RM 2000 sebulan juga perlu diambilkira. Kita faham bahawa ramai rakyat mempunyai pinjaman peribadi yang dibuat untuk memenuhi keperluan mendesak seperti yuran universiti anak, pembelian barangan keperluan dan perkara-perkara lain yang penting sebelum ini.

(d) Moratorium automatik tersasar ini dicadangkan supaya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 supaya golongan B40 dan M40 dapat bangkit semula sepenuhnya dari kesulitan ekonomi sepanjang tahun 2020 ini.

Secara umumnya, peminjam-peminjam kenderaan bukan mewah (seperti Perodua, Proton), serta rumah-rumah kos sederhana (seperti rumah flat, apartmen keluarga) yang memperolehi manfaat moratorium AKAN berbelanja di sektor ekonomi terutamanya SME.

Peminjam-peminjam di kategori inilah yang akan makan di gerai-gerai, membeli barang-barang dari peniaga-peniaga kecil dan berbelanja di sektor SME. Mereka tidak membeli barang-barang mewah.

Saya tidak lihat bahawa lanjutan moratorium automatik kepada peminjam-peminjam golongan B40 dan M40 ini digunakan untuk barang-barang mewah, sebaliknya kebanyakan rakyat yang selama ini mempunyai ‘komitmen hampir penuh dari gaji bulanan’ dapat berbelanja di kitaran ekonomi negara.

Saya yakin, peminjam-peminjam kategori ini kebanyakannya bukan pekerja-pekerja berjawatan tinggi, mereka sukar mendapat pelepasan waktu dari majikan untuk bertemu pihak bank bagi perbincangan untuk perlanjutan moratorium. Adalah lebih baik sekiranya perlanjutan moratorium secara automatik tersasar diberikan kepada mereka. Bayaran pinjaman mereka juga tidak terlalu besar.

Saya yakin bahawa bank-bank tidak akan rugi dengan kaedah ini kerana peminjam kenderaan mewah dan rumah mewah serta syarikat-syarikat besar tetap akan terus membayar pinjaman mereka.

Orang-orang kaya biasanya ‘menyimpan’ wang lebihan mereka, tetapi golongan B40 dan M40 biasanya akan memanfaatkan moratorium ini untuk berbelanja di sektor ekonomi. Peniaga-peniaga kecil, warung, restoran, penjual barangan online akan memperolehi hasil jualan yang lebih baik. Mungkin ada juga golongan B40 dan M40 yang dapat mengambil kesempatan untuk bercuti secara sederhana di dalam negara yang membantu industri pelancongan yang sangat teruk terjejas akibat Covid-19.

Saya berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini demi kebaikan rakyat terbanyak. Lebih baik memudahkan rakyat daripada membiarkan golongan B40 dan M40 ini bersusah untuk berbincang dengan pihak bank. Setelah mengambil cuti dan memohon pelepasan dari majikan, mungkin pihak bank tidak meluluskan permohonan lanjutan mereka.

Di samping mengambil langkah prihatin serta peduli kepada golongan B40 dan M40, kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme yang sesuai bagi membantu golongan T20 yang turut terjejas akibat Covid-19. Moratorium untuk syarikat-syarikat dan juga individu-individu yang sebelum ini berpendapatan tinggi tetapi terjejas ataupun hilang pekerjaan harus diteruskan seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.

Saya yakin golongan T20 boleh berurusan dengan pihak bank secara lebih efektif untuk lanjutan moratorium. Jangan lupakan langsung kumpulan T20 kerana mereka penyumbang terbesar cukai korporat dan sumbangan lain seperti mewujudkan peluang pekerjaan serta pemangkin ekonomi negara. Mereka juga perlu bantuan kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi terutama dalam suasana mencabar ketika ini.

Berbeza dengan golongan B40 dan sebahagian besar M40, kita tetap cadangkan agar diberikan lanjutan automatik mengikut jumlah pinjaman. Biar bank-bank kurang untung (bukan rugi) tetapi nasib rakyat dapat dibantu serta ekonomi negara dapat dirancakkan terutamanya di sektor perniagaan. Jika ekonomi bertambah baik, seluruh lapisan rakyat akan mendapat manfaat termasuklah golongan T20. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.