Debat Isu TH: Azeez Cadang 14 Ogos, Bermuzakarah Secara Ilmiah

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mencadangkan Jumaat minggu hadapan, 14 haribulan Ogos 2020, bersamaan 24 Zulhijjah 1441H tarikh program debat antaranya bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai isu Tabung Haji (TH).

Katanya, beliau memohon kepada pihak penganjur agar menukar program tersebut kepada program ‘Muzakarah’ berbanding program debat demi redha daripada Allah SWT.

“Saya menyarankan kami masing-masing mengeluarkan pendapat dengan ilmiah untuk dikongsikan ilmu-ilmu tersebut kepada orang ramai.

“Dan saya pohon pada Yang Berhormat (YB) Parit Buntar agar hentikan pengaiban dan hinaan kepada saya, bekas Menteri dan pengurusan tertinggi TH sebagaimana sebelum ini malahan baru-baru ini pun kata-kata yang mengaibkan telah dikeluarkan dengan sengaja oleh beliau,” ujarnya dalam satu kenyataan, yang disiarkan di Facebooknya.

Bekas Pengerusi TH itu memberi respon mengenai pelawaan Mujahid yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri untuk berdebat setelah Abdul Azeez baru-baru ini telah membahaskan di Parlimen beberapa isu berkaitan pengurusan TH yang pada pendapatnya perlu dimaklumkan kepada umum.

Ulasnya lagi, isu debat itu juga menyebabkan seolah-olah seperti ada keseronokan di pihak tertentu sama ada di media sosial atau media cetak membincangkan isu tersebut.

“Malahan ada di antara sesama Islam yang saling mengeluarkan perkataan lucah sekalipun hanya untuk menyerang saya dan Parit Buntar. Ada juga di kalangan warga netizen yang menyokong tidak kurang juga yang memberi pendapat membantah debat tersebut diadakan.

“Untuk makluman semua sebenarnya saya sendiri secara peribadi merasa sedih, hiba dan kecewa berkaitan isu TH yang melibatkan institusi terulung umat Islam di Malaysia dan telahpun selama ini dipandang mulia oleh negara-negara lain di dunia ini malahan pernah menerima pengiktirafan dari kerajaan Arab Saudi sebagai institusi terbaik dalam pengurusan jemaah haji, telah dijadikan medan pertelingkahan,” kesalnya.

Begitu juga katanya, serangan terhadap TH dan pengurusannya telah dibuat pra Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi oleh pihak pembangkang dengan tuduhan-tuduhan bahawa beliau sebagai Pengerusi dan pengurusan tertinggi TH yang lainnya telah menyeleweng, menipu dan memanipulasikan kedudukan kewangan TH yang sebenar daripada pendeposit-pendeposit dan juga seluruh umat islam di Malaysia.

“Malahan lebih teruk lagi tuduhan perompak, penyamun dan pencuri dilaung-laungkan kepada kami.

“Pengurusan tertinggi TH telah ditamatkan kontrak dan ada di antara staf TH yang telah digantung tugas dengan bayaran separuh gaji sehingga hari ini.

“Lebih teruk lagi laporan polis dibuat atas dakwaan salah laku menyeleweng dana dan dimalukan di akhbar-akhbar dan media masa serta media sosial sebagai penyamun TH,” katanya.

Berikut merupakan kenyataan penuh Abdul Azeez:

Di hari yang penuh barakah ini, sementelah tiadanya sidang parlimen pada hari ini, saya terpanggil untuk menulis berkenaan isu debat saya dan YB Parit Buntar, YB Dato Seri Mujahid Yusof Rawa.

Saya melihat seolah-olah seperti ada keseronokan di pihak tertentu samada di media sosial atau media cetak membincangkan isu ini, malahan ada di antara sesama Islam yang saling mengeluarkan perkataan lucah sekalipun hanya untuk menyerang saya dan YB Parit Buntar. Ada juga di kalangan warga netizen yang menyokong tidak kurang juga yang memberi pendapat membantah debat tersebut diadakan.

Untuk makluman semua sebenarnya saya sendiri secara peribadi merasa sedih, hiba dan kecewa berkaitan isu Tabung Haji yang melibatkan institusi terulung umat islam di Malaysia dan telahpun selama ini dipandang mulia oleh negara-negara lain di dunia ini malahan pernah menerima pengiktirafan dari kerajaan Arab Saudi sebagai institusi terbaik dalam pengurusan jemaah haji, telah dijadikan medan pertelingkahan.

Serangan terhadap Lembaga Tabung Haji dan pengurusannya telah dibuat pra PRU 14 lagi oleh pihak pembangkang dengan tuduhan-tuduhan bahawa saya sebagai Pengerusi dan pengurusan tertinggi Tabung Haji yang lainnya telah menyeleweng, menipu dan memanipulasikan kedudukan kewangan Tabung Haji yang sebenar daripada pendeposit-pendeposit Tabung Haji dan juga seluruh umat islam di Malaysia.

Malahan lebih teruk lagi tuduhan perompak, penyamun dan pencuri dilaung-laungkan kepada kami.

Pengurusan tertinggi Tabung Haji telah ditamatkan kontrak dan ada di antara staf Tabung Haji yang telah digantung tugas dengan bayaran separuh gaji sehingga hari ini.

Lebih teruk lagi laporan polis dibuat atas dakwaan salah laku menyeleweng dana dan dimalukan di akhbar-akhbar dan media masa serta media sosial sebagai penyamun Tabung Haji.

Selama 22 bulan mereka ini menangis, merintih kepada Allah swt kerana mereka melihat tiadanya ruang dan pembelaan untuk mereka. Saya pula dimalukan dengan kata-kata, penulisan poster dan meme yang menggambarkan sayalah perompak pencuri Tabung Haji.

Umum tahu bahawa tiadanya pendakwaan melibatkan penyelewengan Tabung Haji tetapi naratif itu tidak pernah dihentikan oleh orang ramai akibat dan kesan daripada fitnah yang ditaburkan ke atas kami semua.

Begitulah bahayanya dosa fitnah sebagaimana firman Allah swt di dalam surah An Nur:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١﴾ لَّوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَـٰذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [Surah al-Nur : 11-12]

Dan hadis Rasulullah saw:

إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3].

Saya tidak mungkin merasa gembira dan ghairah untuk program debat ini kerana saya sentiasa mengambil kira pesanan Rasulullah saw :

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. [Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47)].

Baru- baru ini saya telah membahaskan di Parlimen beberapa isu berkaitan pengurusan Tabung Haji yang pada pendapat saya perlu dimaklumkan kepada umum dan saya percaya ianya telah mendorong YB Parit Buntar untuk mempelawa saya berdebat.

Maka saya telah mencadangkan tarikh 14 haribulan Ogos 2020, bersamaan 24 Zulhijjah 1441H untuk program tersebut diadakan namun saya memohon kepada pihak penganjur agar menukar program tersebut kepada program “Muzakarah” berbanding program debat demi redha daripada Allah swt.

Saya menyarankan kami masing-masing mengeluarkan pendapat dengan ilmiah untuk dikongsikan ilmu-ilmu tersebut kepada orang ramai.

Dan saya pohon pada YB Parit Buntar agar hentikan pengaiban dan hinaan kepada saya, bekas Menteri dan pengurusan tertinggi Tabung Haji sebagaimana sebelum ini malahan baru-baru ini pun kata-kata yang mengaibkan telah dikeluarkan dengan sengaja oleh beliau.

Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.

Dan bertepatan dengan konsep “Rahmatan Lilalamin” yang sentiasa disebutkan oleh YB Parit Buntar maka di pihak kami tidak mungkin kami akan menghina, memalukan dan mengaibkan beliau sebagaimana nasib yang menimpa kami.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.

#diariparlimenBaling
#Balingdihatiku
#AzeezRahimrakyatBalingberpisahtiada – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.