KPDNHEP Pantau Barangan Keperluan Asas Di Empat Mukim Di Kedah

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau barangan keperluan asas di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di Kedah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi memastikan tidak timbul isu kekurangan barangan keperluan khususnya makanan di kawasan berkenaan.

“Kalau ada isu bekalan makanan habis, saya akan maklumkan kepada KPDNHEP tambah barangan keperluan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media bahawa penduduk tempatan mengeluh akibat kekurangan bekalan makanan seperti roti apabila permintaan barangan itu meningkat sejak PKPD secara pentadbiran dikuatkuasakan Isnin lepas susulan peningkatan kes COVID-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Menurutnya, penduduk masih boleh bergerak untuk keluar bekerja dan membeli barangan keperluan asas memandangkan kedai runcit dan restoran dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Apabila telah dilakukan ujian calitan, mereka juga boleh keluar daripada perkampungan mereka yang dikenakan PKPD pentadbiran. Mereka bebas, bukan seperti PKPD dahulu, mereka langsung tidak boleh keluar dari rumah masing-masing,” jelasnya.

Mengenai laporan berhubung keadaan di beberapa hotel yang dijadikan pusat kuarantin didakwa menyediakan sajian makanan kurang memuaskan, Ismail Sabri berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil tindakan lanjut mengenai perkara itu.

“Menu makanan yang diadukan tidak bermutu dan sebagainya itu juga telah ditukar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.