Terbalikkan Jalur Gemilang: Tindakan Kurang Ajar, Dungu Dan Biadap – Mustafa

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Secara peribadi, perbuatan menterbalikkan Jalur Gemilang merupakan satu tindakan yang dungu, kurang ajar serta biadap terhadap negara, bidas Exco Pemuda UMNO Malaysia Mustafa Shah Abdul Hamid.

Tegasnya, menterbalikkan Jalur Gemilang bermaksud meletakkan bulan bintang, warna kuning dan biru ke bawah dan pasti ada niat yang tersirat pihak berkenaan kerana setiap elemen itu mempunyai maksudnya tersendiri.

“Jalur Gemilang adalah maruah negara dan tiang seri dalam menyatukan masyarakat majmuk di bawah satu bumbung. Ia mempunyai nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara kita.

“Bahkan bendera ini perlu dipertahankan dan dijaga semua kerana ia melambangkan perpaduan kepada Malaysia yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mustafa yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar berkata demikian mengulas kejadian baru-baru ini, sekali lagi rakyat dikejutkan dengan tindakan beberapa buah sekolah yang telah memasang bendera Malaysia, Jalur Gemilang secara terbalik di mana perbuatan biadap itu telah dirakam dan telah tular melalui media sosial.

Katanya lagi, perkara sedemikian bukan saja mengundang rasa marah penduduk setempat malahan seluruh warganegara merasa perbuatan tersebut tidak wajar berlaku dan dianggap biadap sekiranya disengajakan.

“Memasang bendera Malaysia secara terbalik ini bukanlah satu perkara yang baru. Umum ketahui saban tahun menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan, pasti akan timbul kes-kes di mana Jalur Gemilang dipasang secara terbalik oleh beberapa pihak.

“Pernah berlaku sebelum ini perbuatan menterbalikkan Jalur Gemilang beramai-ramai susulan keputusan Pilihanraya Umum Ke-13 di mana sekumpulan pelajar Malaysia di Taiwan telah bergambar sambil memegang Jalur Gemilang diterbalikkan.

“Hujah mereka ialah bukan ingin menghina atau tidak sayang akan simbol kekuatan dan identiti negara ini tetapi sebaliknya mereka hanya ingin menyampaikan mesej rasa ketidakpuasan hati terhadap keputusan pilihanraya yang bagi mereka tidak dijalankan secara demokratik,” katanya.

Ulasnya lagi, signifikasi pemasangan bendera secara terbalik itu sebenarnya membawa maksud yang bertentangan dengan nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara khususnya Malaysia.

Justeru Mustafa menggesa hukuman tegas harus dikenakan terhadap mana-mana individu atau institusi yang sengaja menterbalikkan Jalur Gemilang kerana perbuatan sedemikian sudah tidak boleh diterima lagi.

“Jadikan sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu kerana lambang negara itu tidak ada kena mengena sama sekali dengan soal kebencian mahupun politik kepartian,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.