PUMAS Off-Site Produk Baharu, Beri Ruang Mereka Di Luar Parti Lontar Pandangan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) sekali lagi tampil dengan produk baharu apabila menerbitkan segmen PUMAS Off-Site yang menampilkan tokoh-tokoh serta individu-individu berpengaruh di luar parti dengan memperkatakan pelbagai topik.

Segmen tersebut dihoskan sendiri oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan buat pertama kalinya disiarkan hari ini dengan mengundang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online pada pukul 2 petang tadi.

Shahril dalam mukadimahnya menyebutkan bahawa seringkali melibatkan pemimpin UMNO dan kali ini ruang dan peluang diberikan kepada tokoh daripada luar parti untuk sama-sama berkongsi pandangan dan juga lontaran idea masing-masing.

“Seringkali kita mendengar UMNO bercakap dan mendengar pandangan pemimpinnya tetapi saya kira penting juga UMNO mendengar daripada orang yang berpengaruh di luar parti.

“Itu yang menginspirasikan segmen baru kita di PUMAS dengan bertanyakan soalan serta berbual santai dengan ikon-ikon yang berpengaruh dan episod pertama kita bersama Jufritri Johar, Presiden Majlis Belia Malaysia,” katanya.

Bagi Jufitri, segmen sedemikian sebenarnya adalah satu perkara yang cukup perlu untuk sesebuah parti politik mahu pun mana-mana organisasi kerana ianya juga memerlukan pandangan daripada pihak luar.

“Pertama sekali saya harus berikan pujian sebab apa bukan sahaja UMNO malah setiap organisasi perlukan kritikan daripada luar. Kita kadangkala sukakan pujian dan kadang-kadang…apa yang saya lihat dan sejak dahulu konsisten bahawa mana-mana parti yang ada termasuk UMNO mereka ada sumbangan yang besar.

“Kita kadang-kadang apabila bencikan sesuatu parti itu kita lupakan jasa mereka. Parti ada baik ada ada yang buruk. Jangan kita taksub kepada seseorang itu sehingga semuanya bagus dan UMNO itu sendiri sebagai sebuah parti mempunyai jasa serta peranan yang cukup besar,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh bahawa persepsi yang mengatakan badan berkenaan tidak setuju penurunan had umur belia sepertimana yang diperkatakan sebelum ini adalah tidak betul.

“Persepsi yang mengatakan orang dalam MBM ini tidak mahu turun had umur belia tidak betul. Sebabnya ada yang kumpulan dah ‘ready’. Kita tidak boleh ‘pukul rata’ semua tidak setuju dalam soal berkenaan. Penurunan umur rata-rata kepada umur ke-35 dahulu,” ujarnya.

Ujar beliau lagi MBM sendiri mempunyai peranan yang signifikan dan ianya tidak terhad kepada program keramaian, kemasyarakatan dan sebagainya lagi dan atas dasar tersebut penekanan diberikan bahawa MBM harus dilihat ‘non partisan’.

“Sebab itu saya tekankan MBM kena dilihat ‘non partisan’ dan betul-betul dilihat suara ketiga dan dilihat tidak mempunyai kepentingan mana-mana dan kita antara yang mendesak ketika berjumpa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini antaranya lebih banyak ruang-ruang anak muda dalam platform pembuatan dasar daripada bawah hinggalah ke atas.

“Lihat baru-baru ini lantikan senator berapakah orang muda… kelima-lima senior dan kita kata kita perlukan senior…kombinasilah..tiga senior dan dua yang muda supaya yang muda ini boleh mewakili suara golongan berkenaan untuk mempengaruhi polisi di Dewan Negara,” tambahnya. – UMNO-Online

Oleh: Ku Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.