Muafakat Nasional Terbuka Untuk Semua, Asalkan Bersedia Terima Prinsip Yang Digariskan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Sesiapa sahaja dialu-alukan menyertai Muafakat Nasional jika bersedia menerima segala prinsip dan nilai teras yang digaris serta dikongsi bersama, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam satu nukilan dengan tajuk ‘Lahirnya Muafakat Nasional’ yang dimuat naik di Facebooknya, Dr Asyraf berkata Muafakat Nasional lahir selaras dengan tuntutan agama.

“Lahirnya Muafakat Nasional atas keinsafan untuk menoktahkan perbalahan puluhan tahun yang membinasakan.

“Lahirnya Muafakat Nasional atas keimanan untuk memenuhi tuntutan Ilahi supaya ummah berpadu dan jauhi permusuhan yang memudaratkan.

“Lahirnya Muafakat Nasional atas kesedaran untuk menyelamatkan agama daripada terus diremehkan lantaran perpecahan ummah yang berterusan,” ujarnya.

Ulasnya, yang jelas permuafakatan tersebut dibina atas beberapa prinsip.

“Atas dasar keimanan… Atas semangat penyatuan… Atas landasan kesetiaan…. Atas ikatan persahabatan,” katanya.

Ia juga katanya bukan hanya sekadar perkongsian kuasa dan perkiraan kerusi pilihan raya.

Untuk rekod, pada 14 September tahun lepas, tercatat sejarah yang cukup besar buat rakyat dan negara apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Himpunan Penyatuan Ummah.

Antara lain, kandungan piagam tersebut membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.