Warisan Tak Nafi Pertumbuhan Ekonomi Sabah Lembab Di Bawah Mereka

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak menafikan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pentadbiran mereka adalah amat lembab.

Ini katanya merujuk kepada kenyataan Warisan yang berkata bahawa tempoh masa 26 bulan mereka memerintah Sabah adalah terlalu singkat untuk merumuskan bahawa kerajaan Warisan sudah gagal menjaga ekonomi.

“Tapi yang peliknya ialah 8 tahun sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), pertumbuhan ekonomi Sabah adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara.

“Misalnya pada tahun 2017, kadar Sabah adalah 8.2% iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia.

“Pada tahun 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7% berbanding kadar 4.2% untuk Malaysia,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ini menunjukkan katanya, secara am ekonomi Sabah telah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum Warisan mengambil alih.

“Namun pada tahun 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke 1.5% iaitu paling rendah antara semua negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan 4.7% Malaysia.

“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan dengan negeri-negeri lain bermula tahun 2018,” ujarnya lagi.

Ulas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, jika diperhatikan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah.

“Ekonomi Sabah dah jatuh ke tahap kritikal setelah dua tahun bawah Warisan. Pada masa kritikal COVID (COVID-19) ini, Sabah amat memerlukan bantuan dan dokongan kerajaan pusat.

“Hari ini kahwin, takkan esok beranak? Jika tak ada pelan strategik yang betul serta dokongan kerajaan pusat, mampu hamil ke tidak pun menjadi tanda tanya besar,” sinisnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.