Wallahi Wabillahi Watallahi, Saya Tidak Meminta Atau Tahu Tentang RM42 juta – Najib


KUALA LUMPUR, 28 Julai – “Wallahi wabillahi watallahi… saya tidak meminta atau dalam pengetahuan saya tentang duit RM42 juta ini yang dikatakan dimasukkan dalam akuan saya,” ujar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, sumpah itu yang dilafazkan sebanyak dua kali hari ini adalah lambang ketegasan bahawa pengakuannya berkaitan wang tersebut adalah benar.

“Saya nak maklumkan bahawa dalam mahkamah tadi hakim telah mengizinkan saya untuk bercakap sepatah dua kata pada penghujung perbicaraan dan antara perkara yang saya sebut adalah kejayaan atau pencapaian waktu saya jadi perdana menteri selama sembilan tahun dan kedua saya mengulangi sumpah saya iaitu “wallahi wabillahi watallahi” bahawa saya tidak meminta mahupun ditawarkan atau dalam pengetahuan saya tentang duit RM42 juta yang dikatakan masuk dalam akaun saya.

“Ini satu pengakuan yang telah saya lahirkan kerana saya hendak mengatakan setegas-tegasnya bahawa pengakuan ini pengakuan yang benar dan saya sanggup melafazkan lafaz ini malah petang tadi saya telah melafazkan sebanyak dua kali supaya ia dirakamkan sebagai satu pengakuan yang tegas yang benar,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas tamat kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini tadi.

Selain itu, Najib turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan kes SRC International kerana menurut beliau, barisan peguam yang mewakilinya telah mengemukakan segala bukti yang membawa kepada banyak keraguan namun ianya ditolak.

“Saya amat kecewa dengan penghakiman dalam kes SRC ini kerana pihak kami telah memberi hujah yang boleh membawa kepada banyak keraguan dalam kes ini namun ia tidak diterima.

“Tetapi rayuan akan dibuat secepat mungkin dan saya berharap kes rayuan ini akan didengari dengan seberapa segera kerana saya ingin meneruskan usaha untuk membersihkan nama saya dan perjuangan ini akan tetap saya teruskan.

“Oleh kerana kes ini dalam proses lanjutan di peringkat rayuan jadi saya tidak boleh cakap lebih lagi,” ujar beliau.

Najib hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.