Penempatan Haram Bukit Malut Bukan Dalam Rizab Hutan Paya Bakau, Hutan Simpan

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kawasan penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi tidak terletak dalam rizab hutan paya bakau atau Hutan Simpan Bukit Malut, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sebaliknya, penempatan itu terletak dalam tanah kerajaan yang telah diberi hak milik sementara oleh kerajaan negeri Kedah kepada Permodalan Kedah Berhad dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.

“Pihak kementerian difahamkan bahawa kerajaan negeri Kedah maklum mengenai perkara ini dan usaha-usaha sedang diambil oleh kerajaan negeri bersama-sama dengan Jabatan juga Agensi yang berkaitan.

“(Ini) termasuklah dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memindahkan penduduk yang tinggal secara haram di kawasan tersebut ke kawasan baharu,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, sebuah media tempatan melaporkan mengenai gesaan penduduk Langkawi agar kerajaan Persekutuan melakukan pemutihan ke atas ribuan warga asing yang mendiami kawasan tersebut yang dikenali sebagai kawasan penempatan pendatang tanpa izin.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata pemeliharaan Hutan Simpan Bukit Malut masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat sedikit kesan pencerobohan untuk pemilikan tanah.

Oleh itu, katanya pihak kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan baharu.

“Tindakan tegas mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) akan diambil terhadap penceroboh,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.