Kes SRC: Pasukan Pembelaan Najib Mohon Kemuka Rayuan Pada Isnin

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Sejurus selepas Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kerana beliau akan memanggil seorang atau dua saksi untuk menyokong rayuan berkenaan.

“Ini bukan sesuatu yang baharu untuk menyokong faktor peringanan hukuman. Tidak akan ada prejudis terhadap pihak pendakwaan bagi mahkamah menangguhkan rayuan pada Isnin. Anak guam saya tidak akan ke mana-mana kerana pergerakan negara ini masih disekat kerana pandemik COVID-19, ” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan rayuan itu perlu diteruskan memandangkan penghakiman telah diumumkan.

“Yang Arif telah mendapati tertuduh bersalah, biasanya penangguhan selepas sabitan tetapi penangguhan di sini selepas keputusan. Dalam hal ini, jelas prejudis di pihak pendakwaan dan ia situasi yang janggal,” tegas Sithambaram.

Terdahulu Hakim Mohd Nazlan mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Najib, 67.

Sithambaram kemudian berhujah bahawa setelah disabitkan, hukuman perlu dijatuhkan terhadap tertuduh.

Pada peringkat ini, Muhammad Shafee bangun dan mengatakan bahwa mahkamah boleh membenarkan penangguhan pendengaran rayuan sebelum menjatuhkan hukuman memandangkan pembelaan memerlukan masa untuk membuat rayuan yang sempurna.

“Saya menganggap prosiding rayuan supaya hukuman diringankan sebagai sesuatu yang serius dalam semua kes, bukan hanya untuk kes ini. Ini bukan kali pertama permohonan untuk menangguhkan rayuan dibuat memandangkan ia pernah dilakukan dalam beberapa kes sebelum ini,” kata Muhammad Shafee.

Sebagai respons kepada hujah Muhammad Shafee, Mohd Nazlan meminta peguam berkenaan mengemukakan kes yang dirujuknya, bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata kes tersebut tidak dilaporkan.

Sithambaram berkata mahkamah boleh membenarkan permohonan itu jika terdapat keadaan khusus.

Mohd Nazlan kemudian menangguhkan prosiding sehingga 2 petang untuk memutuskan permohonan itu.

“Sekiranya tidak yakin atau berpuas hati (dengan hujah pembelaan), mahkamah akan meneruskan prosiding dengan menjatuhkan hukuman,” kata hakim.

Menurut sumber, Najib telah ditempatkan di bilik saksi bersebelahan bilik perbicaraan dan akan berada di situ sehingga prosiding disambung semula pada 2 petang. Bagaimanapun, beliau tidak dibenarkan meninggalkan bilik itu kerana telah disabitkan kesalahan.

“Makanan tengah hari akan disediakan kepadanya dan beliau dibenarkan bersolat di dalam bilik itu,” menurut sumber itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.