Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli Teruskan Usaha Digitalisasi Pentadbiran Tanah Di Negeri-Negeri

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli meneruskan usaha untuk mendigitalisasikan pentadbiran tanah dengan beberapa hala tuju di negeri-negeri di Semenanjung dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata antara elemen baharu yang diperkenalkan adalah konsep perserahan dan pendaftaran secara dalam talian (QPR – Online Presentation and Registration) merentasi negeri yang meminimumkan urusan berkaitan tanah persempadanan negeri sekali gus memudahkan urusan rakyat dengan penjimatan kos perjalanan, masa dan tenaga.

“Kementerian akan memastikan aspek keseragaman pentadbiran tanah negara berpaksikan pembahagian kuasa seperti mana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kementerian juga akan terus memberi komitmen dengan menjalin kerjasama erat dengan kerajaan negeri sebagai usaha untuk memodenisasikan pentadbiran tanah tanpa menjejaskan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Tanah Negara 2020, semalam.

Hari Tanah Negara yang disambut pada 27 Julai setiap tahun adalah pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan pentadbiran tanah di seluruh negara dalam memastikan perundangan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus pembangunan negara.

Mengambil tema ‘Digitalisasi Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Ekonomi Negara’, Shamsul Anuar berkata pemodenan pentadbiran tanah melalui pendigitalisasian maklumat dilihat mampu memberikan kemudahan kepada rakyat untuk terus melaksanakan urusan berkaitan tanah terutama dalam situasi norma baharu disebabkan COVID-19.

“Urusan dan transaksi tanah secara dalam talian dilihat amat penting bagi membantu mempercepatkan proses transaksi hartanah pada masa akan datang. Ini membolehkan operasi hal ehwal tanah dapat berjalan seperti biasa ketika keadaan yang membatasi perihal transaksi secara bersemuka.

“Antara faktor kejayaan digitalisasi dalam urusan tanah dapat dilihat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah menggunakan sistem e-tanah sejak 2017. Ia dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan boleh beroperasi seperti biasa serta hasil masih boleh dikutip walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Shamsul Anuar berkata dugaan pandemik COVID-19 dan cabaran semasa musim PKP secara tidak langsung membuka ruang kepada pentadbiran tanah untuk melakukan perubahan yang lebih drastik demi memenuhi kehendak rakyat.

“Saya menyeru kepada seluruh anggota pentadbiran tanah supaya menggunakan kesempatan ini dengan melaksanakan penambahbaikan berterusan agar pengurusan pentadbiran negara dapat dibuat dengan berkesan seterusnya membantu industri untuk membaik pulih ekonomi.

“Saya berharap agar sambutan Hari Tanah Negara tahun ini dapat mengingatkan komuniti pentadbiran tanah bahawa adaptasi teknologi dan pendigitalisasian informasi memainkan peranan penting dalam melicinkan penyampaian perkhidmatan urusan tanah kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.