Hijrah Rasulullah SAW Bukan Pelarian, Mohamad Sabu Digesa Mohon Maaf – Afif

BANDAR BARU BANGI, 28 Julai – Sekretariat Agamawan Muda menasihatkan Presiden Parti Amanah Negara (Pan) Mohammad Sabu agar bertaubat, menarik balik perkataan pelarian dikaitkan dengan peristiwa hijrah serta memohon maaf di atas kekhilafan beliau.

Pengerusinya, Afif Farhi Othman berharap pemimpin politik lebih berhati-hati di dalam mengaitkan baginda Nabi SAW di dalam hujahan dan perbahasan agar tidak mengundang persepsi yang negatif terhadap baginda dan kesucian Islam.

“Mohammad Sabu di dalam sesi perbahasan di parlimen telah mengkategorikan ‘hijrah’ baginda Rasulullah SAW sebagai pelarian sekaligus telah memberikan gambaran yang negatif terhadap peristiwa penting di dalam sejarah Islam ini.

“Mohammad Sabu dengan jelas menyamakan hijrah baginda Rasulullah SAW sebagai pelarian akibat daripada tekanan politik masyarakat Quraisy yang menentang usaha dakwah baginda SAW,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Afif yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, perlu difahami bahawa perpindahan nabi dan umat Islam atau perubahan yang dilakukan oleh baginda nabi SAW tidak boleh disamakan dengan pelarian yang masuk ke dalam negara pada hari ini atas beberapa hujah.

“Hijrah baginda Nabi SAW ke Madinah tidak sama dengan pelarian ekonomi, politik mahupun pelancongan seperti yang dikategorikan oleh Mohammad Sabu kerana ianya adalah atas perintah Allah SWT sepertimana di dalam hadith:

بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ

Maksudnya: “Nabi SAW dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” [Riwayat al-Bukhari (3902)].

“Hijrah baginda Nabi SAW bukan melarikan diri mendapatkan perlindungan politik sebaliknya berlaku atas jemputan/undangan masyarakat Yathrib yang amat mengharapkan baginda menyatu padukan qabilah-qabilah yang bertelagah dan memimpin mereka ke arah keamanan melalui Perjanjian Aqabah 1 dan Perjanjian Aqabah 2,” jelasnya lagi.

Begitu juga ulas Afif, hijrah baginda Nabi SAW adalah atas tujuan dakwah setelah diwahyukan oleh Allah SWT.

“Sejarah membuktikan bahawa baginda SAW berdakwah hampir 13 tahun di Makkah dan telah tiba masanya dikembangkan ke sebuah tempat yang menerima Islam dan usaha baginda Nabi SAW.

“Ini merupakan beberapa hujah yang meletakkan makna ‘Hijrah’ itu lebih tinggi daripada perkataan ‘pelarian’ seperti yang Mohammad Sabu sifatkan.

“Janganlah sesekali disamakan proses hijrah ini dengan pelarian dalam usaha pembangkang mengkritik usaha kerajaan menangkap pendatang tanpa izin dan mereka yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara kita,” bidasnya.

Tegasnya juga, kejahilan di dalam memahami istilah sebenar hijrah telah menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat dan merendahkan nilai makna peristiwa tersebut. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.