Garis Panduan Penjualan Arak Di Ibu Negara Dibincang Bulan Depan – Annuar

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Lembaga pelesenan minuman keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bersidang pada Ogos bagi membincang dan menentukan garis panduan yang lebih teratur berhubung penjualan arak di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata penelitian garis panduan itu bertujuan menjaga kepentingan awam dengan mengambil kira sensitiviti premis dan kawasan serta waktu penjualan arak kepada orang awam.

“Sebenarnya tidak ada penggantungan lesen penjualan arak ketika ini, sebaliknya pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi kawasan DBKL kerana timbul keresahan orang ramai berpunca daripada peristiwa pemandu mabuk dan mengancam nyawa, sehingga ada yang menyebabkan kematian.

“Kita terima banyak pandangan orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, termasuk soal pelesenan, kaedah mengeluarkan lesen, waktu arak dijual, kepada siapa dijual, dan susulan itu DBKL lihat wajar kita meneliti dan melakukan penambahbaikan demi kepentingan awam.

“Maka, lesen baharu tidak dikeluarkan sehingga satu garis panduan lebih kemas dan teratur dikeluarkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata demikian semasa menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu rasional keputusan DBKL menggantung pengeluaran lesen arak di Wilayah Persekutuan dan bilakah pengeluaran lesen itu akan disambung semula.

Menjelas lanjut, Annuar berkata pembekuan pengeluaran lesen itu tidak menjejaskan pekerja yang terlibat ketika ini, malah pemilik lesen sedia ada dapat menjalankan perniagaan seperti biasa memandangkan 2,096 lesen yang dikeluarkan kerajaan terdahulu masih sah dan tempohnya akan tamat pada September.

“Daripada jumlah itu, lebih 200 sudah memohon untuk memperbaharui lesen manakala terdapat 69 permohonan baharu setakat ini yang sedang dipertimbangkan sehingga satu garis panduan lebih teratur dikeluarkan,” katanya.

Menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta kementerian mengehadkan penjualan arak di kawasan kediaman umat Islam, Annuar berkata lima ahli lembaga pelesenan minuman keras DBKL akan mengambil kira perkara itu, selain memastikan pengeluaran lesen arak dilakukan dengan pengawalan ketat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.