Boleh Balik Beraya Haji Di Kampung Tapi Jangan Bawa Balik COVID-19

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Jika pada Aidilfitri yang lepas, orang ramai tidak dapat menyambutnya bersama keluarga di kampung ekoran larangan rentas negeri, namun pada Aidiladha yang jatuh pada Jumaat ini tiada sebarang sekatan perjalanan akan dibuat.

“Tiada sekatan rentas negeri mahupun daerah. Orang ramai bebas untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha,” demikian kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media berkenaan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen semalam.

Selepas pengumuman itu, terdetik dalam fikiran, pastinya jalan raya dan lebuh raya kali ini akan menjadi lebih sesak dari tahun-tahun yang sudah kerana orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman, setelah tidak dapat berbuat demikian pada perayaan yang lepas.

Oleh itu kena sentiasa ingat, meskipun diberi lampu hijau oleh kerajaan untuk menyambut Aidiladha, ia bukanlah lesen untuk terlalu berseronok hinggakan terlupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bertujuan untuk mengawal dan menyahkan terus wabak COVID-19.

Bak kata Ismail Sabri, boleh balik kampung tetapi kenalah jaga kesihatan dan keselamatan, iaitu dengan mematuhi SOP Aidiladha dan ibadah korban yang ditetapkan. Ini termasuklah tidak boleh berkumpul melebihi 20 orang pada satu-satu masa bagi jamuan di rumah.

Bagi ibadah korban pula, kerajaan memutuskan untuk mengehadkan jumlah lembu atau haiwan lain yang dikorbankan iaitu tidak lebih 10 ekor lembu bagi masjid, surau dan lokasi yang dibenarkan. Bagaimanapun, had maksimum itu juga tertakluk kepada keluasan lokasi tersebut.

Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban dijalankan juga ditetapkan dengan nisbah 20 orang bagi seekor lembu termasuk petugas sembelih, melapah dan yang mengedarkan daging, malah tiada kenduri dibenarkan kecuali makanan berbungkus diedar kepada petugas.

Yang bergelang merah jambu iaitu yang masih dalam proses kuarantin wajib berada di rumah pula jangan beria-ia mahu turut sama beraya, pulang ke kampung, menunaikan solat sunat Aidiladha atau menerima tetamu. Kuarantinlah di rumah diam-diam atau bersiap sedialah ditangkap pihak berkuasa jika ingkar.

Rakyat Malaysia, kalau kita terlihat kelibat si gelang merah jambu di khalayak ramai, berpelesiran di luar rumah dan melanggar peraturan kuarantin, laporkan sahaja kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mungkin mereka yang degil ini hanya akan duduk diam apabila di lokap.

Meskipun semalam, jumlah kes positif COVID-19 akhirnya kembali mencatatkan satu angka iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai. Namun jangan cepat sangat menghela nafas lega.

Ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran gelombang ketiga pandemik COVID-19 bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan sosial.

Pastinya kita tidak mahu lagi COVID-19 ini terus bermaharajalela dan wujudnya kluster-kluster baharu, lebih-lebih lagi menjangkiti orang yang kita sayangi di kampung, maka di musim perayaan ini, sama-samalah kita jaga kesihatan dan keselamatan diri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.