Rakyat Malaysia Pulang Ke Tanah Air Jalani Kuarantin Wajib Hari Ini

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Mulai hari ini, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, seramai 1,244 rakyat telah pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari China, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Kemboja, Jepun, Laos, Belanda, India dan Korea.

“Seramai 1,243 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang telah dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat saringan ke atas 24,701 individu di pintu masuk KLIA dari 10 Jun hingga 23 Julai.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 24,621 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 80 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mengenai Ops Sanitasi Awam Ismail Sabri berkata, sebanyak 10 operasi sanitasi di Sabah dan Pahang dijalankan semalam, melibatkan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 122 anggota pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 720 premis perniagaan semalam.

KPDNEHP turut melakukan 1,745 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,699 premis mematuhi SOP, 45 premis diberi nasihat, manakala sebuah premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Menurut kenyataan itu, bekalan barangan keperluan juga mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperoleh.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata 2,105 pendatang tanpa izin, 572 tekong dan 126 penyeludup, ditahan sejak 1 Mei hingga 23 Julai dalam Operasi Benteng.

“Turut ditahan 79 bot dan 224 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PDRM menahan 227 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam, dan daripada jumlah itu, 62 individu direman manakala seorang lagi dijamin dan 164 individu dikenakan kompaun.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 65,434 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.