IPT Perlu Serah Maklumat Pelajar Antarabangsa Proses Kembali Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menyediakan maklumat lengkap mengenai pelajar antarabangsanya yang akan kembali ke Malaysia sebelum seseorang pelajar itu dibenarkan menyambung sesi pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata maklumat tersebut perlu diserahkan kepada Education Malaysia Global Service (EMGS) sebelum kebenaran masuk ke dalam negara diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa maklumat mengenai pelajar antarabangsa sedang dikemas kini oleh pihak IPT awam dan swasta.

“Kalau ikut statistik permohonan paling tinggi adalah dari Indonesia, Thailand dan Pakistan. Tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen,” katanya kepada media selepas merasmikan Riverside Cafe On The Go di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Noraini berkata proses kemasukan adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Antara SOP itu adalah mereka perlu menjalani swab test (ujian calitan) dan kuarantin selama 14 hari. Pada hari terakhir kuarantin, mereka akan menjalani ujian calitan semula,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kebenaran pelajar antarabangsa untuk kembali ke Malaysia bagi menyambung pengajian di IPT masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Ditanya mengenai proses pendaftaran semula pelajar IPT tempatan terutama yang melibatkan pergerakan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Noraini berkata pihak pengurusan IPT dan kerajaan negeri terlibat sedang mengadakan perbincangan.

Katanya prosedur pendaftaran semula pelajar tempatan di IPT akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kami bercakap mengenai pelajar yang akan balik ke Semenanjung dan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Perbincangan perlu diadakan bersama universiti dan kerajaan negeri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.