Isu Tabung Haji: Kerajaan Teliti Semula Penjualan Aset TH Plantations

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan penjualan aset syarikat TH Plantations Bhd (THP) berikutan banyak perkara berkaitan yang perlu diteliti semula, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Malah, beliau menegaskan bahawa penjualan aset THP tidak akan menyelesaikan jumlah hutang yang membebankan syarikat terbabit yang sebaliknya memerlukan penstrukturan semula bagi tujuan menguruskan aliran tunai.

“Sebanyak 75 peratus hutang TH Plantations Bhd adalah daripada Tabung Haji sendiri.

“Soalan penting di sini adalah mengapa terlalu tergesa-gesa menjual (anak syarikat THP) sedangkan harga komoditi yang merupakan instrumen utama kepada TH Plantations, sedang pulih,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang mahu mengetahui justifikasi atau kewajaran penjualan aset ladang oleh THP serta keluasan dan jumlah ladang yang telah dijual.

Ahmad Marzuk berkata keputusan untuk menjual 14 anak syarikat THP yang memiliki ladang berkeluasan sebanyak 76,957 hektar iaitu bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang milik anak syarikat THP, telah dibuat semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada Ogos 2019.

Penjualan itu juga menyebabkan keluasan ladang milik THP sebanyak 100,976 hektar telah berkurangan sebanyak 76.2 peratus kepada 24,000 hektar sahaja.

Semakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menunjukkan daripada 14 anak syarikat terbabit, empat daripadanya mencatatkan keuntungan iaitu THP Ibok, THP Pelita Sadong, THP Pelita Gedong dan Hydroflow, kata beliau.

Ahmad Marzuk berkata, keputusan menjual ladang-ladang ini telah dibuat semasa harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan serius yang menyebabkan anak-anak syarikat THP mengalami kerugian.

“Kejatuhan harga minyak sawit mentah itu adalah disebabkan oleh tindakan Pakatan Harapan yang tidak menjaga hubungan dagangan dengan China dan India yang akhirnya menyebabkan eksport sawit negara jatuh mendadak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Marzuk berkata pelupusan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd kepada TDM Berhad (anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu) sedang dimuktamadkan dan penjualan tersebut adalah berdasarkan harga pasaran merangkumi keluasan ladang THP-YT sebanyak 2,594 hektar.

“Manakala pelupusan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd yang melibatkan keluasan sebanyak 6,514 hektar kepada syarikat bukan Bumiputera iaitu Tamaco Plantation Sdn Bhd juga sedang dimuktamadkan,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, pada masa ini kelulusan terhadap penjualan syarikat-syarikat itu masih di peringkat pertimbangan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi mendapatkan perkara sebenar kerana sebarang penjualan kepada syarikat bukan Bumiputera mesti diluluskan oleh EPU.

Penjualan Bumi Suria Ventures dan Maju Warisan Mas juga sedang menunggu kelulusan EPU sama ada harga jualan tersebut adalah pada harga pasaran atau sebaliknya serta sekiranya pelupusan tersebut akan memberi impak kepada perancangan jangka panjang dan keuntungan THP.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan negara, keyakinan pelabur juga semakin meningkat dan harga minyak sawit mentah kian pulih berikutan hubungan dagangan antarabangsa yang terjalin semula. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.