UMNO/BN Telah Terbukti Mentadbir Penuh Adil, Saksama Tanpa Bezakan Agama, Bangsa – Tajuddin
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun kini UMNO tidak menerajui kerajaan tetapi penyertaan parti keramat ini dalam Perikatan Nasional (PN) adalah satu langkah permulaan kebangkitan UMNO sebagai parti pemerintah.
Jelas beliau, ini kerana UMNO mempunyai struktur terlengkap dan tersusun malah UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) telah membuktikan sekian lama pentadbiran dalam kerajaan dilaksana secara adil dan saksamana tanpa membezakan agama dan bangsa.
“UMNO adalah sebuah parti yang boleh dikatakan mewakili majoriti rakyat dalam negara ini dan berharap bila pilihan raya diadakan nanti, akan ada persefahaman antara parti dalam PN dan tidak ada perebutan mahupun pergaduhan hanya kerana kerusi. Jika ini dapat kita lakukan maka sudah pasti kerjasama dapat diteruskan kerana tujuan kita adalah satu iaitu untuk memperjuangkan kebangkitan Melayu Islam dan dalam masa yang sama membela nasib mereka yang bukan Islam.
“Saya rasa semasa pemerintahan yang diterajui oleh Melayu Islam iaitu ketika UMNO/BN memerintah, telah terbukti ia adil dan saksama kepada semua kaum. Insya-Allah, UMNO akan bangkit kembali pada PRU-15 nanti,” ujar beliau.
Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segman ‘Diskusi Dari Parlimen’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online malam tadi.
Ketika ditanya berkaitan kualiti blok pembangkang dalam sidang Dewan Parlimen yang sedang berlangsung, Tajuddin berkata, blok pembangkang seakan mengalami kejutan budaya apabila hanya mampu memegang kuasa selama 22 bulan.
“Mereka meroyan… marah kerana kehilangan kuasa dan cara mereka meluahkan perasaan itu adalah tidak elok. Mereka bercakap perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada Dewan. Mereka cuba buat tuduhan terhadap kerajaan PN tapi kita boleh rasa itu semua adalah luahan mereka yang kecewa, kekecewaan mereka bukan salah dari UMNO, PAS atau PPBM tetapi kerana Tun (DR. Mahathir Mohamad) sendiri yang meletak jawatan yang akhirnya membuatkan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
“Tapi itulah… bila seseorang itu zalim dan menganiaya maka lambat laun akan terima hukumannya dari Allah. Dalam kes ini, bila Tun letak jawatan maka PH yang dilihat menganiaya rakyat tumbang… tidak ada orang paksa Tun letak jawatan tapi atas kehendak sendiri,” ujar beliau.
Jelas Tajuddin, pemerintahan PH walaupun terdiri dari pelbagai kaum tetapi kaum-kaum bukan Melayu terutamanya Dap mengambil kesempatan menggunakan kuasa mereka untuk menindas orang Melayu.
“Ini yang membuatkan orang Melayu Islam marah dan tidak puas hati kepada PH. Mereka menghancurksn institusi Melayu, menjual aset kerajaan yang menjadi pemegang amanah kepada Melayu Islam. Pemimpin Melayu dalam PH pula tidak membela nasib orang Melayu, membiarkan Dap bermaharajalela melakukan apa sahaja, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi dari segi pekerjaan juga bila ramai pekerja Melayu dibuang, penjawat awam dikecilkan dan ini terdiri daripada orang Melayu.
“Guan Eng pula langsung tidak membantu orang Melayu, peniaga Melayu malah boleh dikatakan menindas kontraktor Melayu. Sebab itu orang Melayu yang berjiwa Melayu bangkit untuk mempertahankan dan akhirnya membentuk kerjasama PN. Dalam PN walaupun majoritinya Melayu Islam tetapi tidak timbul rasis atau perkauman kerana bantuan dan pembelaan yang dilakukan adil.
“Ini terbukti apabila negara dilanda pandemik COVID-19, bantuan diberikan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama malah warganegara asing juga diberi bantuan,” ujar beliau lagi.
Terdahulu dilaporkan Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 13 Julai lalu dengan pelaksanaan dalam keadaan norma baharu, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan melibatkan kerajaan baharu selepas kerajaan PH tumbang 24 Feb lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu.
Ekoran itu, PN dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy