Status Pelarian Tidak Diberi Sewenang-Wenangnya – KDN

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan kerajaan sebelum status atau kemudahan diberi kepada warganegara asing termasuk tahanan dan banduan yang ingin mendapatkan status pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata malah UNHCR juga menjelaskan bahawa proses penentuan status pelarian adalah satu proses yang terperinci serta tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru dan sewenang-wenangnya.

“Ini untuk mengelak berlaku pemberian status pelarian kepada invididu yang tidak memenuhi kelayakan serta mempunyai latar belakang negatif, rekod jenayah, kecenderungan terhadap aktiviti subversif dan kriteria-kriteria yang boleh memberikan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul kamar khas oleh Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang bertanyakan mengenai isu polisi pelarian di Malaysia.

Ismail berkata penangguhan akses UNHCR untuk proses penentuan status pelarian serta kawalan yang dilaksanakan di depot tahanan imigresen dan penjara adalah berdasarkan perundangan sedia ada.

Selain itu, Ismail berkata kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaku peneraju dasar berkaitan pendatang tanpa izin (PTI) yang memegang kad UNHCR di Malaysia sedang meneliti cadangan penambahbaikan pada aspek prosedur, tatacara dan kawalan, khususnya bagi penentuan status pelarian dan membantu mekanisme pengurusan pemegang kad UNHCR.

Jelasnya, kerajaan sedang memperhalusi kebolehlaksanaan perkongsian maklumat dengan pihak UNHCR dan sekiranya dipersetujui akan memberikan akses kepada maklumat pendatang asing yang memegang kad UNHCR serta pemohon suaka di Malaysia.

“Kerajaan turut mengkaji cadangan penglibatan kerajaan dalam proses penentuan status pelarian yang pada masa ini dilaksanakan sepenuhnya oleh UNHCR.

“Meskipun Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, terdapat keperluan di pihak kerajaan untuk mengawal selia keberadaan PTI yang memegang kad UNHCR di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan tidak timbul risiko keselamatan dalam kalangan individu yang tidak diketahui latar belakangnya.

Ismail turut memaklumkan purata kos keseluruhan bagi penyelenggaraan seorang banduan di penjara adalah RM50 sehari manakala kos bagi seorang tahanan Depot Tahanan Imigresen adalah sebanyak RM90 sehari.

Katanya, kos ini melibatkan antaranya penyediaan makanan, perubatan, kemudahan asas, bekalan air dan elektrik, program pemulihan, penyelenggaraan depot dan penjara serta elaun dan gaji pegawai yang bertugas dan lain-lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia pada 1 Julai, seramai 60,983 banduan sedang menjalani hukuman di penjara di seluruh negara berbanding kapasiti seramai 47,650 orang.

“Memang overcrowded, punca utama kesesakan ialah kadar kemasukan banduan yang meningkat, terutama banduan negara asing yang ketika ini merangkumi 20 peratus daripada jumlah banduan sedia ada iaitu (seramai) 13,319 banduan daripada keseluruhan banduan,” katanya.

Di depot tahanan imigresen pula, terdapat 15,163 tahanan ketika ini berbanding kapasiti sebanyak 12,530 tahanan pada satu-satu masa.

Ismail memaklumkan faktor jumlah tahanan melebihi kapasiti depot berpunca daripada proses penghantaran pulang tahanan yang terjejas akibat pelaksanaan sekatan kemasukan oleh hampir semua negara di seluruh dunia susulan penularan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.