Polis Tahan 383 Individu Ingkar Arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Polis menahan 383 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, dengan 351 daripadanya dikenakan kompaun, manakala 32 lagi ditahan reman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 328 daripada mereka melakukan kesalahan dengan menyertai aktiviti dalam pub atau kelab malam, manakala 55 melakukan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan sosial serta aktiviti melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Merujuk kepada Task Force Operasi Pematuhan pula, dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, polis telah membuat 61,907 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal ketat sempadan negara daripada dibolos pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, katanya polis menahan 14 warga asing semalam, atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya dalam operasi itu, 65 sekatan jalan raya dilaksanakan dan polis memeriksa 36,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di sekitar kawasan berhampiran lorong-lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata setakat semalam, 1,062 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Taiwan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Australia, Filipina, New Zealand, China, Hong Kong dan Mesir.

“Seramai 1,061 individu telah diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala satu individu telah dibawa ke hospital,” jelasnya.

Beliau berkata juga telah membuat 1,365 pemantauan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib, dengan kesemua mereka didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri juga berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengarahkan 19 tapak binaan ditutup dan 541 tapak binaan pula diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.