Parlimen: Situasi Tenaga Buruh Terus Kukuh Selepas PKPP

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Situasi tenaga buruh pada separuh kedua tahun ini dijangka terus mengukuh, selaras keadaan ekonomi yang dilihat kembali memperoleh momentum selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata di sebalik trend negatif dalam penawaran tenaga buruh hingga Mei 2020, keadaan ini telah bertambah baik jika dibandingkan dengan April 2020.

“Tambahan pula, setelah PKP pemulihan mula berkuat kuasa pada 10 Jun 2020 yang lalu, keadaan ekonomi telah memperoleh kembali momentum.

“Seterusnya ia dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di sini, hari ini.

Beliau berkata ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu.

Di samping itu, menurutnya lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat yang menyumbang kepada penurunan bilangan penganggur.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu tahu unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini serta langkah-langkah diambil kementerian dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran terkini.

Menurut Saravanan sehingga 2 Jun lepas, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lepas.

Manakala kadar pengangguran sepertimana dimaklumkan DOSM sebelum ini meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei berbanding 5 peratus sebulan sebelumnya.

“DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini,” katanya menambah bahawa sektor pekerjaan paling terjejas adalah pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan serta mereka yang bekerja sendiri termasuk peniaga dan pengusaha kecil-kecilan.

Sementara itu menjawab soalan Anwar yang mahu tahu samada anggaran berkenaan menggambarkan jumlah yang sebenar, Saravanan berkata ia adalah anggaran yang realistik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.