Pusat Santuari Gajah, Gerik Produk Pelancongan Baharu Perak – Dr Shamsul

LENGGONG, 18 Julai – Pembangunan Pusat Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, daerah Hulu Perak, bakal memberi nilai tambah kepada industri ekopelancongan negara dan Perak, khususnya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pusat santuari yang akan dibangunkan awal tahun depan dengan kos RM45 juta itu akan meningkatkan kedatangan pelancong ke daerah Hulu Perak, sekali gus memacu ekonomi negeri.

“Kementerian telah senaraikan projek ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kajian sedang dibuat dan harap dapat dilaksanakan tahun depan.

“Kawasan itu akan dibangunkan berasaskan ekopelancongan sebagai pusat pemuliharaan gajah dan diharap dapat menyelesaikan konflik antara gajah dan manusia,” kata Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong kepada pemberita selepas melawat tapak projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Changkat Berangan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Pusat yang akan dibangunankan di kawasan seluas 40 hektar di Sungai Chermin itu kelak, akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rumah pekerja, rumah pengawal, tandas, menara pandang, surau, wakaf, pelantar pelepasan, pusat asuhan, stor makanan dan laluan untuk pelancong.

Ketika ini terdapat Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang dan Santuari Gajah Johor (JES) di Kota Tinggi.

Mengikut statistik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), populasi gajah di Hulu Perak berjumlah antara 100 dan 120 ekor, manakala 90 hingga 100 ekor di Hutan Belum.- BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.