Transformasi Dewan Undangan Negeri Sabah, Rahman Utarakan 5 Cadangan

TUARAN, 17 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata oleh kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai fungsi yang amat penting dan signifikan dalam proses demokrasi negeri Sabah maka adalah perlu untuk mencari jalan memperbaiki sistem perjalanan DUN itu supaya suara keramat rakyat Sabah dapat dimuliakan.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran berharap cadangannya akan menjadikan DUN sebagai tempat yang lebih mulia dan profesional untuk menjana demokrasi yang lebih matang dan subur, sesuai dengan statusnya.

Jelasnya juga dalam satu kenyataan hari ini, penambahbaikan atau transformasi itu bakal melahirkan pemimpin Sabah yang lebih matang dan profesional di masa akan datang.

Antara lima cadangannya adalah mengenai tempoh DUN bersidang, Jawatankuasa Pilihan (JKP) atau ‘Select Committees’, Unit Penyelidikan DUN, Unit Khidmat Rang Undang-Undang (RUU) dan siaran langsung dan penyata rasmi (hansard).

“Malangnya semasa saya menulis artikel ini, rakaman siaran langsung dan hansard langsung tidak ada atau tidak dimuat naik oleh pihak pengurusan DUN. Yang lebih menyedihkan laman web DUN (www.sabah.gov.my/dun) masih dalam status naik taraf. Banyak info tidak dikemas kini.

“Ini sudah berlanjutan berbulan-bulan dan tidak melambangkan profesionalisme pihak DUN. Perlu diingat bahawa DUN adalah institusi penting dalam sistem demokrasi,” tegasnya.

Berikut merupakan kenyataan penuh Abdul Rahman, berserta lima cadangannya bagi transformasi DUN Sabah:

Politik Baharu Sabah – Siri 1

Transformasi Dewan Undangan Negeri Sabah – Tempat bersemayamnya suara rakyat.

Salah satu dari tiga cabang yang mengenapkan demokrasi ialah cabang legislatif (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri). Dua lagi ialah cabang lain ialah cabang eksekutif (kerajaan) dan cabang kehakiman (sistem mahkamah).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah tempat ahli-ahli Yang Berhormat (ADUN) bersidang untuk menggubal undang-undang dan seterusnya menyemak dan mengimbangi pentadbiran pihak kerajaan diperingkat negeri Sabah.

Oleh kerana DUN mempunyai fungsi yang amat penting dan signifikan dalam proses demokrasi negeri Sabah, adalah perlu untuk kita sentiasa mencari jalan memperbaiki sistem perjalanan DUN itu supaya suara keramat rakyat Sabah dapat dimuliakan. Saya kemukakan 5 cadangan untuk tujuan ini.

(1) Tempoh DUN bersidang

Kebiasaannya, DUN Sabah hanya bersidang kurang dari 20 hari setiap tahun. Tempoh ini amat pendek untuk membahas isu-isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat.

ADUN-ADUN juga sukar untuk membawa isu terkini yang sensitif-masa seperti banjir, jenayah, keruntuhan bangunan dan jambatan, pencemaran alam sekitar, lapuran ekonomi dan sebagainya untuk dibahaskan dan untuk mendapat respon dari pihak kerajaan. Bayangkan jika ada jambatan utama runtuh atau jalan raya utama terputus atau pencemaran sungai yang kritikal, ADUN kawasan terlibat terpaksa menunggu lama sehingga DUN bersidang semula untuk mendapatkan respon rasmi dari kerajaan!

Bila ada isu semasa yang menjadi hangat, kebanyakan kita akan mengulas mengenainya di kedai-kedai kopi, tempat kenduri, masjid, gereja, media social seperti Facebook atau Whats App, pejabat dan di rumah. Sudah tentu perbincangan di tempat-tempat tersebut tidak ada penyelesaian atau kesimpulan kerana kerajaan tidak ada di tempat itu untuk menjawab atau memberi respon kepada pertanyaan kita.

Kita terpaksa menunggu berbulan-bulan sampai sidang DUN yang berikutnya untuk mendapatkan respon dari kerajaan. Sebab itu amat mustahak tempoh DUN bersidang dipanjangkan bagi memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat meminta respon segera dari pihak kerajaan mengenai isu-isu semasa tersebut.

Memanjangkan tempoh bersidang juga akan memberi peluang untuk ADUN-ADUN untuk mengasah bakat mereka untuk berdebat dan membuat kajian yang lebih mendalam mengenai sesuatu isu. ADUN-ADUN akan mempunyai masa yang cukup untuk menyoal pihak kerajaan sehingga mereka berpuas hati dengan kejayaan (atau kegagalan) kerajaan menjawab pertanyaan mereka.

Malah bagi pihak kerajaan pula, mereka juga mendapat peluang untuk menjawab dan menjelaskan secara terperinci sebarang tohmahan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial dan ruang perbincangan awam. Menteri-menteri pula akan lebih peka kepada isu-isu semasa dan akan mengarahkan pegawai-pegawai kementerian mereka untuk turun padang dan mencari penyelesaian sebelum isu-isu tersebut menjadi perdebatan hangat dalam DUN yang kerap bersidang.

Saya tidak merasakan memanjangkan tempoh DUN memakan kos yang besar dan membebankan. Bangunan DUN sudah tersergam indah di Kota Kinabalu. Pegawai dan staff sokongan juga memang sudah ada. Kalau pun ada penambahan kos mungkin dari segi tambahan elaun YB-YB dan pegawai-pegawai dan kos elektrik kerana penggunaan lampu dan sistem hawa dingin. Kos ini kecil berbanding manfaat yang rakyat akan dapat dari sistem demokrasi yang lebih subur.

(2) Jawatankuasa Pilihan (JKP) atau Select Committees

DUN perlu menubuhkan JKP yang lebih menyeluruh. Sekarang ini sudah ada JKP yang asas seperti JKP Hak dan Kebebasan (JKP ini berkenaan hak-hak dan disiplin seseorang ADUN), JKP Tetap (Urusan Dewan) dan JKP Kira Kira Wang Awam Negeri Sabah (memantau tadbir urus perbelanjaan kerajaan negeri). Semua ini adalah JKP yang wajib dan sedia ada.

Sebenarnya banyak lagi JKP yang perlu ditubuhkan oleh DUN untuk menangani isu-isu tertentu dan spesifik. Contohnya: JKP MA63, JKP Alam Sekitar, JKP Perlancongan dan Kebudayaan, JKP Jenayah dan Keamanan, JKP Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan, JKP Kesaksamaan Gender, JKP Pelaburan dan Ekonomi, JKP Perlembagaan dan lain-lain.

Apa fungsi JKP dan bagaimana ianya boleh memberi manfaat kepada rakyat?

Bayangkan perbahasan di dalam DUN. Hanya ADUN dan Speaker sahaja yang boleh bercakap di dalam DUN. Orang lain ditegah bercakap termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang pakar dalam sesuatu isu yang sedang dibahaskan. Ini adalah peraturan DUN seperti mana di seluruh dunia. Hanya ADUN-ADUN sahaja yang diberikan penghormatan untuk berbahas di dalam dewan sesuai dengan status mereka sebagai wakil rakyat. Kalau tidak, beratus orang akan bercakap sekali gus dan sidang DUN akan menjadi kelam kabut.

JKP pula akan terdiri dari ADUN-ADUN (dari pihak kerajaan dan pembangkang) dalam jumlah yang kecil (mungkin 5 orang). Mesyuarat JKP diadakan dalam bilik khas dan pegawai kerajaan dan pakar-pakar bidang tertentu (pakar ekonomi contohnya) boleh dijemput untuk memberi pandangan dan keterangan sewaktu pendengaran awam dilakukan.

Dengan cara itu, ADUN-ADUN tersebut boleh mendapatkan maklumat dan pandangan yang lebih professional dan terperinci dibandingkan dengan perbahasan dalam dewan yang hanya melibatkan ADUN-ADUN tanpa penglibatan pakar-pakar. Dengan ujudnya JKP, sesuatu isu boleh dikupas dengan lebih professional dan mendalam.

JKP kemudiannya boleh membentangkan hasil perbincangan mereka kepada orang awam. Malah mereka boleh membentangkan dapatan JKP di dalam DUN untuk dibahaskan oleh semua ADUN-ADUN. Kebaikannya ialah perbahasan dalam DUN berdasarkan lapuran JKP akan lebih teratur kerana ianya bersandarkan fakta sepesifik dan sarat dengan hujah-hujah yang lebih relevan.

(3) Unit Penyelidikan DUN

DUN perlu menubuhkan Unit Penyelidikan supaya ADUN-ADUN mendapat akses kepada informasi dan fakta terkini. Disinilah statistik dan lapuran kerajaan dan swasta boleh didapati termasuk lapuran ilmiah golongan pakar dan akademik mengenai pelbagai isu.

Selalunya ADUN-ADUN akan membuat kajian mereka sendiri bagi tujuan menyiapkan perbahasan mereka. Realitiya, bukan semua ADUN mempunyai masa dan berupaya untuk berbuat demikian. Apa yang berlaku ialah ramai ADUN-ADUN hanya bersandarkan lapuran media massa atau dari interaksi tidak rasmi mereka dengan orang awam mengenai isu-isu tertentu. Sudah tentu keberkesanan perbahasan mereka akan terhad kerana kurang mendapat fakta terkini dari sumber penyelidikan rasmi.

Saya mencadangkan agar DUN menyediakan khidmat penyelidikan yang boleh digunakan oleh ADUN-ADUN dalam penyediaan perbahasan mereka supaya perbahasan mereka lebih berkualiti dan berkesan. Dengan cara ini, kita boleh kurangkan perbahasan retorik dan emosional dan lebih kepada perbahasan yang bernas dan tepat.

(4) Unit Khidmat Rang Undang-Undang (RUU)

DUN perlu menyediakan Unit Khidmat RUU. Sekarang ini semua RUU datangnya dari pihak kerajaan. Saya tidak pernah terdengar atau membaca ada ADUN yang bukan menteri membentangkan RUU persendirian walaupun sebenarnya DUN membenarkan perkara itu dibuat.

RUU adalah cadangan undang-undang yang dibentangkan untuk diluluskan oleh DUN. Selalunya hanya pihak kerajaan yang mencadangkan RUU dalam DUN. Sekiranya lulus, ianya akan menjadi undang-undang negeri Sabah. Bayangkan kalau ada ADUN yang mampu membentangkan RUU persendirian? Contohnya jika ada ADUN yang ingin menggubal undang-undang mengenai perjalanan tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini tidak mudah kerana RUU berkenaan mesti berlandaskan undang-undang dan tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Tanpa ada khidmat nasihat dari Unit Khidmat Rang Undang-Undang DUN, sudah tentu ADUN tersebut tidak berupaya untuk mengubal undang-undang tersebut dengan baik dan tersusun.

Jika ada ADUN yang membentangkan RUU persendirian, ianya akan dibahas oleh ADUN-ADUN dan jika majoriti bersetuju, maka RUU tersebut akan menjadi undang-undang. Dengan cara ini, kerajaan (dan pihak Peguam Negeri) tidak terbeban dengan semua tanggungjawab untuk menggubal undang-undang. ADUN juga boleh membantu untuk menjadikan Sabah negeri yang lebih demokratik demi kesejahteraan rakyatnya.

(5) Siaran langsung dan penyata rasmi (hansard)

Semua perbahasan hendaklah disiarkan secara langsung melalui internet dan penyata rasmi hendaklah dimuat naik di dalam laman web DUN. Siaran langsung melalui internet akan membolehkan rakyat mengikuti perbahasan dalam DUN. Mereka boleh menilai mana ADUN yang boleh berbahas dengan baik dan mana menteri yang menjawab dengan berkesan.

Dengan cara ini, semua ADUN dan Menteri akan cuba memberikan perbahasan yang menarik dan berfakta untuk dinilai oleh rakyat. Pendek kata rakyat akan dapat melihat mana satu ADUN yang berprestasi tinggi dan mana yang tidak.

Penyata rasmi adalah dokumen DUN yang merekodkan semua perbahasan di dalam DUN secara “verbatim” iaitu “kata demi kata”. Maksudnya setiap perkataan dan ayat ADUN akan direkodkan sepenuhnya. Kalau ADUN batuk atau ketawa dalam perbahasannya, itu juga akan direkodkan! Ini membolehkan rakyat membuat rujukan mengenai apa yang berlaku didala perbahasan DUN walaupun perbahasan siaran langsung sudah tamat.

Malangnya semasa saya menulis artikel ini, rakaman siaran langsung dan hansard langsung tidak ada atau tidak dimuat naik oleh pihak pengurusan DUN. Yang lebih menyedihkan laman web DUN (www.sabah.gov.my/dun) masih dalam status naik taraf. Banyak info tidak dikemas kini. Ini sudah berlanjutan berbulan-bulan dan tidak melambangkan profesionalisme pihak DUN. Perlu diingat bahawa DUN adalah institusi penting dalam sistem demokrasi.

Saya harap lima cadangan saya ini akan menjadikan DUN sebagai tempat yang lebih mulia dan profesional untuk kita menjana demokrasi yang lebih matang dan subur, sesuai dengan status sebagai tempat bersemayamnya suara keramat rakyat negeri Sabah. Cadangan penambahbaikan atau transformasi ini bakal melahirkan pemimpin Sabah yang lebih matang dan professional di masa akan datang.

Terima kasih. – UMNO ONLNE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.