Peningkatan PGK, Perlu Ada Pemikiran Dan Pendekatan Yang Holistik – Shahril

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menyambut baik usaha kerajaan menilai semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dinaikkan dari RM980 kepada RM2,208.

Katanya, angka yang diberikan kerajaan itu adalah satu permulaan yang baik dan mencerminkan realiti semasa, tetapi ia juga perlulah mempunyai ketelusan dan pendekatan yang menyeluruh.

“Cuma dalam bercakap tentang indeks kemiskinan multi dimensi; pelbagai dimensi perlu ada satu ketelusan dalam kaedah macam mana ia dibuat. Contoh, kalau kita sebut kadar kemiskinan pelbagai dimensi ini sentuh tentang kesihatan, akses pendidikan jadi bukan hanya angka wang ringgit. PGK ini walaupun kita sambut, jangan kita terlalu seronok kerana ia hanya angka.

“Tetapi yang lebih utama untuk mencerminkan negara semakin maju perlu ada pemikiran dan pendekatan yang menyeluruh; holistik. Holistik ini termasuklah akses pendidikan. Kalau kita lihat RMK-11 (Rancangan Malaysia Kesebelas), satu permulaan yang baik mula bercakap tentang pelbagai dimensi, dan kajian separuh penggalnya pun ada peningkatannya.

“Cuma ada juga beberapa butiran yang perlu kita kaji, contohnya dalam akses pendidikan; kalau semua orang dalam satu isi rumah itu tidak tamat pengajian enam tahun baru dianggap isi rumah itu ‘miskin’ dalam pendidikan. Sepatutnya bagi saya, semua orang dalam isi rumah itu ada pendidikan formal sekurang-kurangnya sepuluh tahun dari tujuh (tahun) ke tujuh belas (tahun) (Darjah 1 ke Tingkatan 5). Kalau seorang dalam isi rumah tidak tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau setarafnya, itu merupakan satu masalah,” katanya dalam satu program temubual di Agenda AWANI, Khamis malam membicarakan topik ‘Kajian Semula PGK: Menilai Realiti Semasa’ bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Begitu juga katanya, semua pihak tidak boleh selesa dengan peningkatan PGK tersebut.

“Jadi saya rasa kita jangan selesa dengan peningkatan ini, satu kemajuan yang patut dipuji yang dibuat oleh kerajaan pada hari ini tetapi masih ada ruang peningkatan dan ini peluang untuk kita betul-betul mengkaji dengan satu kajian yang kritikal.

“Cara kita mengukur kesenjangan ekonomi, tahap kemiskinan, kajian di bawah Jabatan Perangkaan jangan tinggalkan lagi orang Asal, pelarian, gelandangan dan mereka yang di dalam kajian tidak dilibatkan,” tambahnya yang juga berkata pujian harus diberikan kepada mereka yang terlibat dalam membuat kajian tersebut.

Untuk rekod, minggu lepas, PGK Nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menetapkan sebanyak RM2,208 bagi tahun 2019 berbanding RM980 sebulan pada 2016 di mana angka angka tersebut merupakan nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraan yang digunakan pakai sejak 2005.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Shahril turut bersetuju dalam pendewasaan demokrasi, ketelusan data dalam konteks perkara yang dibincangkannya itu perlu dipertingkat.

“Sesiapa yang menerima nila-nilai pendewasaan demokrasi dalam sesebuah negara akan mengakui bahawa lebih demokrasi, lebih maju sesebuah negara itu ketelusan kerajaan itu kena tingkat,” katanya.

Manakala menyentuh mengenai soal keberkesanan bantuan atau sebarang program ekonomi, Shahril berkata ia melibatkan banyak perkara terutama berhubung kait dengan data yang lebih terperinci dan menyeluruh. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.