Hari Jumaat Hari Jawi, Tolak Pemikiran Rasis Demi Pertahan Tradisi, Budaya Negara – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya telah meluluskan hari Jumaat sebagai hari jawi dan diluluskan oleh kabinet.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melahirkan rasa terkilan kerana segelintir rakyat Malaysia yang pemikirannya begitu rasis menolak hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Seorang netizen menyindir iaitu pada hari Jumaat dia akan makan babi, minum arak sambil menulis jawi. Begitu rasis sekali komen mereka.

“Ada yang mengatakan kita akan kembali ke zaman naik unta… ada menuduh kita mahu mengarabkan Malaysia… ada yang biadap mencadangkan supaya ‘Hari Jumaat sebagai Hari Makan Babi’.

“Sedangkan Jawi adalah tamadun orang Melayu. Ia adalah tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun sebelum tulisan rumi diterima sebagai tulisan rasmi bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook, hari ini.

Tambah Dr Puad lagi, sebab itu orang Melayu bangga, mereka satu satunya bangsa yang memiliki dua tulisan iaitu rumi dan Jawi, maka amat memedihkan hati orang Melayu apabila tulisannya dihina.

Jelas beliau, Hari Jawi ini sangat jelas bahawa dalam usaha kerajaan mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

“Justeru kerajaan mesti tegas mempertahankan keputusan jemaah kabinet mengenai Jawi. Dasar ini jelas iaitu untuk memperkasa dan memartabatkan tulisan jawi sebagai tamadun orang Melayu.

“Sepatutnya budaya dan tamadun Melayu ini dihormati. Sebagaimana orang Melayu menghormati budaya dan tulisan kaum lain,” tambahnya.

Sebagai permulaan, pejabat Menteri Agama akan menggunakan logo tulisan jawi pada ‘letterhead’ Kementerian itu, ujarnya.

Tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan, ujarnya lagi – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.