97 Peratus Ahli Kabinet PN Isytihar Harta Masing-Masing – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan 97 peratus ahli kabinet Perikatan Nasional (PN) telah membuat pengisytiharan harta masing-masing setakat ini.

Perdana Menteri berkata mereka telah diberi tempoh selama tiga bulan untuk berbuat demikian selepas mesyuarat sulung kabinet pada 10 Mac lepas.

“Masa yang telah diberikan bagi saya mencukupi. Setakat ini, daripada senarai kabinet, 97 peratus telah pun menyerahkan, ada lagi lima (ahli kabinet belum isytihar), lima ini saya tak payah sebut … saya akan ambil perhatian berat dan minta supaya perkara ini disegerakan, supaya ia akan disempurnakan

“Begitu juga di peringkat timbalan menteri-timbalan menteri dan ahli Parlimen di pihak kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Muhyiddin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu perkembangan perkara itu yang diisytiharkan sebagai satu komitmen kerajaan PN oleh Muhyiddin pada 11 Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, turut mengucapkan tahniah kepada ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang telah menyelesaikan sepenuhnya pengisytiharan harta mereka.

Menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu perkembangan penggubalan Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik, Muhyiddin berkata kerajaan masih menunggu laporan mengenainya daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Katanya kerajaan mengambil maklum keperluan mewujudkan rang undang-undang itu yang secara amnya telah dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP), dan dasar tersebut telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Parlimen pada 7 Nov lepas.

“PAC telah diminta menyediakan laporan berkaitan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14, namun setakat hari ini GIACC (Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah) sebagai penyelaras RUU (rang undang-undang) sumbangan politik ini masih belum terima apa-apa laporan daripada PAC.

“… mengambil kira keadaan semasa, PAC akan teruskan penyediaan laporan berkaitan dasar sumbangan politik ini dan akan kemukakan kepada kerajaan bila siap nanti,” katanya.

Menjawab soalan asal Azizah yang ingin tahu komitmen kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah di dalam negara serta perkembangan status inisiatif di bawah NACP, Muhyiddin berkata sebanyak 28 inisiatif di bawah enam strategi telah dilaksanakan setakat Mei lepas.

Ini katanya merangkumi 13 inisiatif di bawah Tadbir Urus Politik; Pentadbiran Sektor Awam (4); Perolehan Awam; Perundangan (1); Penguatkuasaan Undang-undang (5); dan Tadbir Urus Korporat (dua inisiatif).

Bagi memastikan hasrat murni kerajaan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, Perdana Menteri berkata peranan GIACC sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah akan dikekalkan manakala Jawatankuasa Anti-Rasuah akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dibuat tidak berkompromi terhadap kegiatan rasuah.

“Semua pendekatan dan usaha ke arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan kerajaan PN melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam inisiatif NACP 2019 – 2023,” katanya.

Muhyiddin berkata NACP digubal dengan mengambil kira piawaian antarabangsa berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Konvensyen PBB mengenai Rasuah, namun pada masa sama tidak mengabaikan piawaian dalam konteks amalan tempatan yang lebih praktikal dan mampu mengatasi pencapaian berdasarkan piawaian antarabangsa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.