Hubungan Malaysia Dengan Negara Luar Semakin Pulih – Hishamuddin

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara perkara utama yang perlu dilakukan apabila mengambil alih Wisma Putra adalah untuk membaik pulih hubungan Malaysia dengan negara luar.

Jelas beliau, semua pihak sedia maklum sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, hubungan Malaysia dengan negara luar agak tegang sehingga ada negara seperti India yang mahu memboikot Malaysia.

“Itu tidak boleh dinafikan… kalau tidak, tidak perlu kita baik pulih dan apa yang sudah ditunjukkan baru-baru ini… dengan komitmen China kepada kita berhubung dengan kawasan tertentu di laut China Selatan, hubungan kita dengan Saudi Arabia, ia menunjukkan hubungan kita dengan negara luar kembali baik.

“Semua orang tahu sebelum ini hubungan dengan Saudi Arabia, China, India, UAE sangat tergugat,” ujar beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Hishammuddin turut menjelaskan, Malaysia telah menetapkan empat kategori untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

Ujarnya menerusi kenyataan bersama dengan Menteri Luar Negeri Singapura, Vivian Balakrishnan, kerajaan telah mengumumkan sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka secara bersyarat bermula 10 Ogos ini untuk dua kategori pertama.

Kedua-dua kategori itu ialah Reciprocal Green Lane (RGL) atau Laluan Hijau Timbal Balik untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting.

“Pada masa ini, seramai 400 orang seminggu dari setiap satu negara akan dibenarkan untuk menggunakan kemudahan ini.

“Kedua, Periodic Commuting Arrangement (PCA) atau Pengaturan Ulang Alik Berkala iaitu untuk membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura yang memegang pas imigresen jangka panjang melakukan perjalanan rentas sempadan atas tujuan bekerja,” jelas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.