Saksi Kes Zahid : Sumbang RM9 Juta Bina Dua Masjid Adalah Ikhlas Dengan Lafaz Akad

KUALA LUMPUR, 14 Julai –  Saksi ke-78 kes membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bahawa sumbangan bernilai RM9 juta untuk membina dua buah masjid adalah ikhlas, berserta lafaz akad dan sebagai saham akhirat untuk dirinya.

Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata, sumbangannya tidak perlu invois dan resit kerana beliau percaya ia memadai dengan akad.

“Kalau dah akad tak perlu resit dan invois. Saya percaya saham akhirat lebih bernilai untuk kita,” katanya.

Beliau berkata sumbangannya untuk membina dua masjid, sebuah di Country Heights dan sebuah lagi di Melaka (Masjid Terapung Salmah Khamis) hanya diketahui olehnya dan Ahmad Zahid.

“Hanya saya dan Zahid yang tahu dan setiap kali beri sumbangan saya akan akad bahawa sumbangan itu untuk pembinaan masjid dan bukan untuk tujuan yang lain. Apabila saya lafaz akad, Zahid pun akan lafaz akad terima sumbangan itu untuk pembinaan masjid,” katanya.

Jimmy adalah antara empat orang saksi yang dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau Jimmy memaklumkan kepada mahkamah bahawa sumbangannya yang diberikan secara beperingkat menerusi 15 keping cek dibayar kepada Tetuan Lewis & Co.

Jimmy berkata, beliau mempercayai Ahmad Zahid sepenuh hati kerana sumbangan itu dimasukkan ke akaun peguam dan bukan peribadi.

“Saya percaya cakap Zahid kerana mengenali personalitinya sejak dia bersama Pemuda UMNO.

“Saya tengok dia selalu buat kerja-kerja amal dan kebajikan. Personaliti dia memang ke arah fisabilillah, ke arah keagamaan. Bila saya lafaz akad saya betul percaya ia adalah untuk pembinaan masjid,” jelasnya.

Ditanya oleh pendakwa raya sama ada beliau pernah membuat sumbangan-sumbangan lain, Jimmy mengakui kerap berbuat demikian.

“Dari semasa ke semasa saya memang selalu beri sumbangan kepada masjid, tahfiz dan majiis korban. Saya banyak bergaul dengan orang masjid dan tahfiz. Setiap kali beri sumbangan, saya juga tak mahu nama dicatit sebagai penderma kerana saya menderma secara ikhlas,” ujarnya.

Jimmy, yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah MYEg berkata selain menerima dividen dari syarikat itu, beliau juga memperolehi pendapatan daripada memperkenalkan majikan dengan pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI). –pnbbcportal.com

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.