PN Kerajaan ‘Pintu Istana’, Tiada Istilah Kerajaan ‘Pintu Belakang’– Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sah dengan mendapat mandat dari rakyat dan tidak ada istilah kerajaan pintu belakang.

Katanya, hentikanlah tuduhan bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang dan sebagainya kerana tuduhan itu boleh dianggap mengina keputusan Yang Di-Pertuan Agong.

“Terbukti semalam majoriti 111 (Ahli Parlimen kerajaan), seorang ahli kami dirawat di hospital dan seorang sedang mempengerusikan mesyuarat jadi kami ada 113 dan terbukti lebih majoriti. Kumpulan kami juga mendapat mandat daripada rakyat kerana rakyat juga yang telah mengundi kami semua.

“Dituduh bahawa kerajaan ini tiada mandat rakyat… saya ingin maklumkan setiap orang dari kami, setiap ahli parlimen dari 113 orang ini mempunyai mandat dari rakyat, jadi kami juga merupakan kerajaan yang sah kerana kami juga adalah dipilih oleh rakyat,” terangnya.

Ahmad Maslan berkata demikian semasa berucap sebagai pencadang usul ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, hari ini.

“Saya juga mencadangkan supaya istilah ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘pengkhianat’ hendaklah dianggap ‘unparliamentary’ atau bercanggah dengan peraturan Parlimen,” katanya.

Ujarnya, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah menyeluruh menyentuh pelbagai kementerian dan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat dan pesanan baginda kepada wakil rakyat tentang pelbagai etika yang baik tentunya perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Memang pada mulanya kami ada SD (akuan bersumpah) untuk Tun Mahathir tapi SD itu tidak terpakai apabila Tun Mahathir meletak jawatan dan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin) adalah pilihan seterusnya untuk menjadi penyelamat kepada kerajaan dan rakyat negara ini.”

Katanya, semua ahli-ahli Parlimen juga telah dititah mengadap Tuanku ke istana untuk melalui proses penilaian sokongan.

“Ada yang masuk ke Istana dengan bas berbumbung, ada yang masuk dengan bas tidak berbumbung agar boleh dilihat oleh rakyat dan dunia.

“Kemelut politik negara diselesaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam istana dengan bijaksana setelah Tun Mahathir meletak jawatan, diterima mengadap, diminta oleh Tuanku untuk tidak meletak jawatan, namun Tun Mahathir tetap dengan keputusannya.

“Akhirnya Tan Sri Muhyiddin dilantik oleh Tuanku menjadi Perdana Menteri Ke-8. Ini kerajaan Pintu Istana yang sah bukan kerajaan pintu belakang,” ujar beliau lagi.

Terangnya, keprihatinan Yang Di-Pertuan Agong kepada kemajuan negara adalah amat tinggi sekali.

“Sesungguhnya Tuanku telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen, yang menjadi tunjang amalan negara kita, menurut perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, setelah melalui proses penilaian, Tuanku telah melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mendapat majoriti kepercayaan Ahli Dewan Rakyat, sebagai Perdana Menteri ke-8,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.