Pelaksanaan Penebusan GCR Dikaji Semula – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang telah berkhidmat selama 15 tahun seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata kajian semula itu dirasakan wajar kerana penebusan awal GCR semasa dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam.

“Ini adalah kerana formula pengiraan penebusan awal GCR adalah berasaskan kepada gaji semasa penjawat awam.

“Jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa dalam perkhidmatan adalah jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji akhir yang diterima ketika itu adalah lebih tinggi,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung status pelaksanaan penebusan GCR itu.

Memberikan contoh pegawai gred M54, Takiyuddin berkata sekiranya menebus GCR apabila bersara penuh, mereka akan menerima RM55,107.90, berbanding RM15,355.05 jika menebus selama 75 hari.

“Semasa bersara dapat lagi RM27,553.95. Jumlah yang kedua-dua mereka dapat RM42,909 sahaja, berbanding dengan kalau mereka ambil semasa bersara penuh,” katanya dan menambah pegawai berkenaan rugi sejumlah RM12,198.90.

Jumlah pengumpulan GCR maksimum yang berkuat kuasa sekarang adalah sebanyak 150 hari.

Selain itu, katanya penebusan awal GCR adalah dikira sebagai pendapatan kasar penggajian dan boleh dikenakan cukai, yang akan mengurangkan lagi jumlah wang diterima penjawat awam berbanding jika dibayar apabila bersara kelak.

Menjawab soalan tambahan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) sama ada kajian semula itu akan melibatkan pembatalan terus dasar berkenaan atau penambahbaikan, Takiyuddin berkata ia belum diputuskan.

Beliau berkata ia boleh melibatkan pengekalan dasar dengan penambahbaikan atau pengenalan dasar baharu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.