Kes Bicara Ahmad Zahid: Saksi Sedekah Sumbangan Untuk Bina Masjid – Peguam

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hamidi Mohd Noh berkeyakinan bahawa keterangan-keterangan pihak pembelaan menyokong Ahmad Zahid dan ia adalah jauh lebih tinggi daripada keterangan-keterangan yang mengatakan bersalah.

Katanya, pada hari ini pihak pendakwaan telah memanggil empat orang saksi yang melibatkan dua orang saksi dari EXIM Bank dan dua orang lagi dari saksi awam.

“Ahli Lembaga MyEG, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah adalah contoh saksi yang sangat baik dan beliau memberitahu kepada Hakim Mahkamah Kuala Lumpur, Collin Lawrence Squeerah bahawa beliau menyedekahkan sumbangan untuk membina masjid-masjid.

“Tidak ada pembayaran MyEG kepada Yayasan Akalbudi, tidak ada. Itu adalah duit Datuk Mohd Jimmy Wong yang disedekahkan untuk pembinaan masjid dan tidak ada sebab-sebab lain kecuali untuk membina masjid.

“Jumlah sumbangan yang diberikan adalah sebanyak RM9 juta yang mana MyEG memasukan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. Sebenarnya adalah duit sumbangannya untuk membina dua masjid iaitu satu di Melaka (Masjid Terapung Salmah Khamis) dan satu lagi di Country Heights.”

Jelas Hamidi, sebagai pihak pembelaan beliau meminta kepastian dan bertanyakan hal berkaitan berkali-kali.

“Kita minta lebih jelas dan hari ini terbukti tujuan beliau datang dan telah berucap berkali-kali… duit yang masuk di Lewis & Co adalah untuk sumbangan Tahfiz Maahad Hamediah, masjid dan sebagainya,” ujarnya kepada UMNO Online selepas perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Berkaitan dengan transaksi yang dikeluar dari Yayasan Akalbudi dari Riyas Aset, katanya ia adalah mengenai pelaburan yang dibayarkan kembali.

“Riyas Aset telah meminjam wang daripada Yayasan Akalbudi dan Yayasan Akalbudi telah ‘invest’ untuk satu pembelian saham dalam Riyas Aset. Pembelian saham itu berlaku selepas perjumpaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan EXIM Bank.

“Daripada pinjaman tersebut telah pun dibayar balik. Jadi ia lebih kepada ‘invesment pinjaman’. Maksudnya… ia invest dan kemudian bayar balik.

Jelas Hamidi lagi, Yayasan Akalbudi ingin membeli saham dari Riyas Aset namun tidak terjadi pembelian saham tersebut.

“Pada awalnya Yayasan Akalbudi ingin membeli saham milik Riyas Aset. Saham ini ingin dilepaskan oleh Tan Sri Abdul Rashid yang kemudiannya dibeli oleh Yayasan Akalbudi tetapi … akhirnya pembelian ini tidak berlaku dan wang itu dipulangkan semula.

“Itu sebenarnya adalah duit dari Yayasan Akalbudi pergi ke Riyas Aset untuk pelaburan pembelian saham dan kemudian dibayar balik kerana pembelian saham ini tidak terjadi. Maka duit tersebut telah digunakan oleh Riyas Aset untuk membayar pinjaman dengan pihak bank,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai tajuk berita yang begitu sensasi tentang pembayaran wang kepada samseng sehingga menjatuhkan aib anak guamnya, katanya, “Saya minta laporan di mahkamah dilakukan dengan seadil-adilnya. Saya ada terbaca ‘news portal’ yang memberikan ‘heading’ yang sangat sensasi seperti bayar samseng dan sebagainya.

Tegasnya, pada sesiapa yang mengikuti perbicaraan di mahkamah pastinya tahu setiap perincian.

“Kalau kita berada di mahkamah, semua tahu tiada pembayaran kepada samseng. Pembayaran samseng dibuat oleh sebuah syarikat untuk tujuan projek mereka. Tidak ada kaitan pun dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan samseng… tidak ada kaitan.

Kes perbicaraan bersambung 27 Julai ini – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.