Dr Asyraf Ingatkan Ahli Parlimen PH Jangan Cemari Kemuliaan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Isu gelagat segelintir Ahli-ahli Parlimen khususnya di blok pembangkang yang tidak menghormati Dewan Rakyat dalam perbahasan dan tidak beretika hingga seorang daripadanya diarahkan keluar dewan jelas mengecewakan, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda sebagai pelapis bagi masa hadapan.

“Apa yang berlaku di Parlimen hari ini semua orang dapat saksikan, kalau tanya mana-mana orang pun memang akan rasa resah gelisah melihat ‘lagak’ Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat membawa satu budaya perbahasan dan perdebatan yang tercabut adab dan akhlak dalam dewan yang begitu mulia.

“Saya kira ini satu perkara bagi orang muda sudah tentu mereka akan merasa kenapa boleh berlaku sebegini. Apakah ini contoh dan teladan yang boleh dijadikan ‘role model’ atau ikutan kepada anak-anak muda pada masa akan datang. Apakah ini landskap politik yang kita inginkan,” katanya dalam satu Forum Muafakat Nasional: Masa Depan MN Dalam Dinamika Politik Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.

Untuk rekod, semalam di hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjadi Ahli Parlimen pertama yang diarahkan keluar oleh Speaker yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun sejurus beliau mengangkat sumpah pada sesi petang persidangan.

Azhar yang ketika itu sedang menyampaikan ucapannya, kemudian dilihat mengarahkan Khalid yang berkemungkinan berterusan mengganggunya keluar dewan sehingga habis persidangan pada hari itu.

Sebelum itu, usul kerajaan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan, walaupun pihak pembangkang menimbulkan kekecohan semasa sesi pembentangan usul dan perbahasan.

Pada sesi berikut selepas berhenti rehat, Muhyiddin mengusulkan pencalonan Azhar, Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Speaker mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf Wajdi berkata isu pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai perkara yang biasa dalam amalan demokrasi apabila berlaku perubahan kerajaan.

Katanya, sudah tentu kerajaan pimpinan Muhyiddin mempunyai hasrat untuk mencadangkan seseorang yang dirasakan boleh memainkan peranan yang lebih baik dan serasi dengan inspirasinya daripada individu sebelumnya dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Manakala di dalam forum yang sama, seorang lagi ahli panel, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khairudin berkata usul kerajaan menukar Speaker Dewan Rakyat adalah tindakan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita ditunjangi oleh tiga perkara iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. Apa yang berlaku pada hari ini adalah legislatif yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tindakan, cadangan, usul-usul yang dibawa oleh Perdana Menteri semuanya bertepatan dengan tatacara yang ditetapkan.

“Sekiranya apa tindakan yang dibawa oleh kerajaan salah di sudut perlembagaan, nescaya ia tidak akan diterima oleh Speaker sebelum ini, sedangkan usul tersebut diterima olehnya,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.