Usul Pengosongan Speaker Dewan Rakyat Diluluskan: 111 Setuju, 109 Menolak Melalui Undi Belah Bahagian

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila usul pengosongan Speaker oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibawa ke Parlimen dan suasana berkenaan terus berpanjangan apabila masuk sesi perbahasan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang mengemudi Dewan Rakyat kemudiannya mententeramkan suhu dewan dan mengeluarkan arahan bahawa dua wakil daripada kerajaan dan pembangkang untuk membahaskan usul yang dibentangkan Muhyiddin dalam tempoh masa 10 minit.

“Tuan yang di-Pertua, Saya ingin mencadangkan bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang Di-Pertua, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang di-Pertua”, kata Muhyiddin.

Usul itu kemudiannya disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) masing-masing bangun menyatakan ketidakpuasan hati yang menyebabkan suasana kecoh, namun kemudiannya berjaya ditenteramkan Timbalan Speaker.

Dalam sesi perbahasan pula, beberapa Ahli Parlimen PH dilihat mula kembali kepada ‘perangai’ lama apabila sering mengganggu perbahasan oleh wakil kerajaan.

Kelihatan masing-masing seolah-olah tidak menghormati peraturan Dewan Rakyat dan beberapa Ahli Parlimen termasuklah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diberi teguran oleh Timbalan Speaker.

Beberapa perkataan yang tidak enak didengar sepanjang perkara berkenaan dibahaskan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyudin Hasan bangkit menjelaskan perkara yang dibahaskan itu dan tidak ada sebab mana-mana pihak mempersoalkan usul berkenaan dan usul berkenaan adalah teratur.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudianya diberikan ruang untuk perbahasan dan kekecohan berlaku lagi apabila Ahli Parlimen daripada pembangkang lain yang turut mencelah mengambil bahagian.

Mantan Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengambil perbahasan mewakili pihak pembangkang dan suasana berkenaan berterusan sehinggalah wakil daripada kerajaan pula iaitu Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim mengambil bahagian.

Pada sesi penggulungan, Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyudin Hasan berkata sememangnya usul berkenaan dibenarkan untuk dibahaskan dan soal ketentuan untuk berbahas itu adalah budi bicara Timbalan Speaker.

“Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) menyatakan perkara ini pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia dan memang itu benar tetapi perkara yang pertama kali bukanlah perkara yang ‘illegal’. Perkara yang pertama kali boleh dilaksanakan berdasarkan kepada Perlembagaan dan juga undang-undang serta peraturan yang ditetapkan di dalam Parlimen.

“Sebagai contoh dalam negara kita tidak pernah berlaku Perdana Menteri Interim tetapi apabila ianya sudah berlaku kali pertama ianya kita terimalah. Begitulah juga masalah yang ada di depan kita bukan memecat Speaker.

“Masalah di depan kita adalah satu usul mengosongkan kerusi Speaker untuk digantikan dengan Speaker yang lain. Itu perkara yang perlu dibuat,” katanya.

Katanya lagi usul berkenaan pertamanya berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 57(2) mengatakan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh pada bila-bila masa dipilih berdasarkan kepada tiga perkara.

“Yang Pertama apabila Dewan Rakyat bermesyuarat pada kali pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU). Keadaan yang kedua Speaker boleh ditukar apabila dia berhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat melainkan oleh sebab pembubarannya.

“Yang ketiga disebut jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian dan inilah keadaannya. Kita membawa usul pengosongan dan pemilihan Speaker baru ke dalam dewan bukan dipecat sewenang-wenangnya. Ianya mengikut ‘standing order’ yang dibuat berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Usul tersebut kemudiannya diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan 111 menyokong, 109 tidak dan tidak hadir 1.

Sebagai rekod, di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bab Urusan Mesyuarat dalam Perkara 4 (1) ada menyebut:

“4. Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini:

(1) Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat.” – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.