Timbalan Menteri Kewangan ‘Turun Padang’ Tinjau Projek Persekutuan Di Sarawak

SERIAN, 11 Julai- Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah hari ini mengambil inisiatif ‘turun padang’ dan meninjau sendiri beberapa projek dan inisatif kerajaan Persekutuan di Sarawak untuk memahami kehendak serta impak kepada masyarakat dalam persediaan menghadapi Belanjawan 2021.

Dalam lawatan kerjanya selama empat hari di Sarawak sejak Rabu lepas, Shahar berkata beliau bersama pasukannya datang untuk melihat sendiri sama ada pelaksanaan projek menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Kewangan (MOF) kepada kementerian-kementerian lain menepati tujuan permohonan.

“Semalam, saya berpeluang melihat proses penunaian Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Prihatin Nasional di Betong, kira-kira lima jam perjalanan dari Kuching dan sewaktu perjalanan pulang, kami sempat melalui jalan raya Pan Borneo dan melihat perkembangan prestasi kerja sekitar laluan itu.

“Hari ini berkaitan pelaksanaan projek sekolah daif melalui dua sumber iaitu yang pertama menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 dan kedua, Projek Pembangunan Sekolah Daif RM1 bilion,” katanya pada sidang media selepas melawat SMK Tebakang di Serian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lawatan MOF ini bukanlah untuk menilai dan memantau kerana itu bukan tugas kementeriannya, cuma beliau mahu memahami perkara yang telah digariskan oleh kementerian sebagai penyediaan untuk menghadapi Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Seharusnya MOF dapat memahami lebih jelas. Bukan hanya duduk di Putrajaya dan diberikan taklimat, tetapi kami turun untuk menyaksikan sendiri apa yang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan Projek Sekolah Daif RM1 bilion, Shahar berkata walaupun ia menghadapi pelbagai cabaran seperti pertukaran kerajaan Persekutuan dan Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi Jabatan Kerja Raya Sarawak telah memberi komitmen untuk mempercepatkan proses pembaikannya.

“Bagi MOF, apa yang penting adalah bukan soal berapakah nilai bangunan yang akan dinaik taraf atau dibina semula itu tetapi impak kepada semua pelajar dan komuniti setempat yang akan menerima manfaat itu yang harus diberi keutamaan,” katanya.

Fasa pertama pelaksanaan Projek Pembangunan Sekolah Daif menggunakan peruntukan khas berjumlah RM1 bilion melalui rundingan di antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan sebelum ini, berjalan lancar dengan 41 buah sekolah sudah dalam pembinaan.

Sementara sejumlah 52 sekolah lagi disenaraikan dalam fasa kedua dan dalam proses pra-tender manakala untuk fasa ketiga pula, ia sedang dimuktamadkan.

JKR Sarawak merupakan agensi pelaksana yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi projek berkenaan, manakala JKR Malaysia menjadi pemantau kepada projek ini.- BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.