Melaka Akan Baik Pulih Insfrastruktur Nelayan Secara Berperingkat

MELAKA, 11 Julai – Kerajaan negeri Melaka akan membaik pulih secara berperingkat infrastruktur dan kemudahan nelayan di negeri ini termasuk menyelesaikan isu hakisan pantai khususnya yang menjejaskan aktiviti perikanan di kawasan terlibat.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata kerja membaik pulih itu akan dilaksanakan mengikut keutamaan atau keperluan semasa menerusi pemantauan yang dilakukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bergantung kepada peruntukan yang ada. 

“Kita mengambil maklum segala masalah atau isu melibatkan golongan nelayan dan penambahbaikan infrastruktur sektor perikanan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa…saya berjanji sekiranya peruntukan ada, kita akan melakukan penambahbaikan di semua kawasan nelayan yang ada. 

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita juga akan memohon peruntukan untuk membaik pulih hakisan yang berlaku di sepanjang pantai di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pengkalan Nelayan Pantai Puteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu akan memberi manfaat kepada 1,126 nelayan dan awak-awak berlesen di Melaka sekali gus memastikan sektor perikanan dapat terus menjamin bekalan makanan negeri mencukupi pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, katanya, industri pembuatan belacan juga akan diberi tumpuan memandangkan Melaka antara pengeluar utama di negara ini dan berpotensi dimajukan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata antara usaha yang akan dilakukan ialah memberi bimbingan teknikal khususnya dari aspek pemasaran dan promosi agar produk berkenaan mempunyai nilai tambah dan mampu bersaing dengan produk makanan lain.

Sementara itu, Sulaiman dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi program ‘Jom Golf ke Melaka’ yang dilancarkan hari ini, kerajaan negeri menyasarkan janaan pendapatan bagi industri golf khususnya pelancongan golf lebih RM2 juta bagi tempoh enam bulan sehingga Disember tahun ini.

Katanya, ia berikutan pelbagai promosi ditawarkan di empat lokasi iaitu A’Famosa and Country Club, Ayer Keroh Country Club (AKCC), Orna Golf and Country Club dan Tiara Melaka Golf and Country Club termasuk kadar harga yang kompetitif iaitu bermula dari RM60. 

“Saya yakin, ini merupakan langkah pertama untuk memulihkan kembali industri golf sekali gus merancakkan semula pertumbuhan ekonomi industri pelancongan di negeri tercinta ini,” tambahnya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.