Kesopanan Dan Kesusilaan Demi Kesejahteraan Sosial

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Meletakkan nilai yang baik pada tingkah laku, beradab sopan dan mengikut peraturan menjadi amalan yang sentiasa dituntut mengikut falsafah Rukun Negara.

Apabila ada tindakan individu atau kumpulan yang melampaui batas, kurang ajar dan tidak sopan terutama melibatkan isu sensitif, pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati hingga ada yang mempersoalkan ke mana hilangnya adab masyarakat hari ini.

Sememangnya, tidak akan sempurna jati diri seorang warganegara itu sekiranya tidak memahami, menghayati dan menjiwai prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan terutama bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jelas sekali, teras kelima prinsip itu memberi penekanan terhadap aspek nilai kemanusiaan supaya setiap warganegara boleh menghormati dan menerima perbezaan masing-masing bagi kesejahteraan sosial, menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Usaha itu, menurut beliau, ditonjolkan menerusi dua konsep iaitu kesopanan yang berkisar tentang tingkah laku baik, manakala kesusilaan pula berkaitan dengan akhlak dan kedua-dua elemen tersebut memerlukan pengisian dan perincian.

“Bagi saya kalau kita nak meningkatkan kesejahteraan sosial, maka pada kesopanan itu perlulah diterapkan dari rumah dengan mengajar anak-anak kita tentang tingkah laku dan kelakuan baik.

“Untuk kesusilaan, pertamanya kita tekankan akhlak dan moraliti. Itu sudah tentu ada kaitan dengan kebaikan. Sudah tentu akhlak itu dan (berkaitan) hal-hal tentang integriti,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 9 Julai ini.

Teo juga menegaskan kepimpinan melalui teladan adalah penting dalam usaha menyemarakkan nilai-nilai dalam teras tersebut, manakala kurikulum pendidikan memainkan peranan penting menyemai aspek Kesopanan dan Kesusilaan.

“…yang lebih tua perlu memperlihatkan kesopanan dalam erti tingkah laku yang baik dan juga ada susilanya di situ dengan akhlaknya yang baik untuk diikuti terutama oleh generasi muda.

“Jadi kalau dalam keluarga, ibu bapa perlu memperlihatkan tingkah laku yang baik dalam konteks kesopanan dan juga akhlak yang baik dalam konteks susila itu,” katanya sambil menambah, guru di sekolah turut memainkan peranan penting menunjukkan teladan yang baik.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata teras tersebut mampu membentuk karakter seseorang yang dilengkapi dengan nilai mulia.

“Keperibadian nilai murni datang daripada nilai sopan, susila dan moral, malahan pembentukan identiti seseorang adalah berdasarkan kepada sejauh manakah kita mampu memperkukuhkan jati diri tanpa sama sekali mengganggu-gugat apa yang sudah dipelajari dan dibina dalam diri seseorang.

“Bermakna kesopanan dan kesusilaan itu juga membentuk bukan sahaja diri kita, tetapi juga mempertahankan identiti nasional di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau turut senada dengan Teo apabila menegaskan ejen yang bertanggungjawab memupuk nilai-nilai tersebut dalam diri seseorang adalah ahli keluarga yang kemudiannya diikuti oleh guru di sekolah.

“Pengaruh yang paling kuat sebenarnya adalah rakan sebaya, kemudian agensi yang bertanggungjawab, media dan juga pemimpin sebagai ejen yang harus dijadikan sebagai idola orang ramai,” katanya yang turut menjelaskan, pokok pangkalnya bergantung kepada diri sendiri.

Dalam pada itu, menurut Sivamurugan, media sosial yang sepatutnya mampu membantu usaha negara menyatupadukan rakyat dilihat menjadi sebaliknya apabila ada pihak yang dilihat sengaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Saya rasakan media sosial merupakan antara elemen yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan nilai-nilai sopan, susila …kalau kita tulis pun (muat naik kenyataan) perlulah secara berhemah untuk memastikan kita tidak menimbulkan kebimbangan atau keresahan.

“Sebahagiannya masih lagi kekal dengan menghayati nilai kesopanan dan kesusilaan, tetapi ada segelintir golongan yang merasakan mereka mahu memberikan tafsiran tersendiri terhadap nilai itu tanpa mahu bersetuju dengan apa yang telah diperakukan oleh majoriti masyarakat,” katanya.

Di samping itu, beliau juga memberitahu sekiranya teras itu tidak dihayati masyarakat, individu berkenaan seolah-olah tiada roh pada jasad dan ibarat masyarakat menjadi terlalu individualistik.

“Kesopanan dan Kesusilaan ini sebenarnya memerlukan tiga nilai besar iaitu faham, hormat dan terima. Kalau kita boleh faham wujudnya perbezaan dalam kalangan masyarakat, kita akan hormat, kemudian terima perbezaan yang wujud serta mengutamakan nilai kemanusiaan,” jelasnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.