Sidang Dewan Rakyat Minggu Hadapan, PN Tentunya Jadi Perhatian

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari mulai 13 Julai depan, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lalu dan tentunya siaran secara langsung akan menjadi tumpuan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kali ini pastinya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula yang akan diperhatikan.

“Dalam demokrasi berparlimen, ucapan, soalan, jawapan, dan gelagat di parlimen mencerminkan diri kita semua, kerana mereka inilah wakil kita.

“Bila ‘live’ kita dapat lihat realiti sebenar. Sangkaan Pakatan Harapan (PH) terdiri dari profesional dan pakar segalanya adalah mitos sebelum memerintah,” katanya menerusi tulisan dalam laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, menyiarkan ucapan pembangkang secara ‘live’ sebelum itu taboo, namun siapa sangka Barisan Nasional (BN) pula jadi pembangkang dan nama Ahmad Maslan melonjak kembali.

“Semuanya ‘live’, tidak ada edit. Ia adalah keputusan politik yang tidak dibuat sebelum itu dengan teknologi HD kita mendahului negara jiran dalam penyiaran parlimen.”

Jelasnya, siaran langsung sesi parlimen boleh diikuti secara ‘online’ dan boleh diikuti pada bila-bila masa dan di mana-mana termasuk di luar negara.

“Kita boleh menonton secara langsung bagaimana LGE (Lim Guan Eng) dikatakan memesong parlimen mengenai wang GST yang dirompak. Jelutong (Ahli Parlimen Jelutong – RSN Rayer) dianggap hero kerana suka ganggu ucapan angota lain.

“Kita juga dapat menilai maksud ‘adil’ Tuan Speaker apabila mengadili perlakuan LGE itu, dan membenarkan cara Jelutong menjadi sebahagian dari adab budaya parlimen kita,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 13 Julai depan akan dilaksanakan dalam keadaan norma baharu, dan walaupun terdapat sedikit kelonggaran diberikan, namun, ia perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Sidang Dewan Rakyat kali ini akan melibatkan kerajaan baharu selepas kerajaan PH tumbang 24 Feb lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu.

Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit