Dasar Wanita Negara: Ayuh Sama-Sama Berganding Bahu Untuk Pembangunan Negara – Norshida

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim hari ini mengajak wanita seluruh negara untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan Dasar Wanita Negara dapat membela semua golongan Wanita di Malaysia dan melihat dasar berkenaan merupakan dasar komprehensif pembangunan sosio-ekonomi yang merangkumi falsafah, inspirasi dan aspirasi wanita daripada pelbagai peringkat, umur, lapisan masyarakat dan semua sektor.

Menurut beliau perlaksanaan dasar ini menjadi agenda utama kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, dinamik dan berdaya maju sekaligus memperlihatkan bahawa golongan berkenaan merupakan golongan istimewa di negara ini yang menjadi pemangkin kepada kebahagiaan rumah tangga dan tonggak kukuh pembangunan negara Malaysia.

“Wanita di Malaysia juga berperanan penting dalam memastikan kesejahteraan kehidupan sesebuah keluarga dan masyarakat memandangkan mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat. Menyedari pelbagai peranan wanita di dalam keluarga, masyarakat, ekonomi malahan politik, pelbagai usaha dan strategi telah dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan.

“Satu dasar untuk membela peranan golongan Wanita di Malaysia telah di wajudkan dan ianya di kenali sebagai Dasar Wanita Negara yang telah diperkenalkan pada tahun 1989. Dasar Wanita Negara ini mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing (Beijing Platform for Action), Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan ProgramTindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration),” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi dasar berkenaan berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni.

Dasar berkenaan tambahnya bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan perlaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara.

Tambahnya lagi dasar Wanita Negara ini selari dengan peranan Wanita Malaysia pada hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita Malaysia kini boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu.

“Perkembangan ini adalah penting kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara, ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain.

“Dalam pada itu juga, Wanita Malaysia sendiri harus mengubah paradigma untuk melihat bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf lelaki dalam banyak keadaan. Dalam lembaran sejarah Islam, ketokohan Saidatina Khadijah R.A sebagai tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya menjadi inspirasi wanita dan lelaki. Tidak kurang juga ketokohan A’isyah R.A sebagai ilmuan dan pakar rujuk kepada para sahabat R.A telah membuktikan bahawa Islam mengiktiraf serta meletakkan wanita pada tempat yang tinggi,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.